PUTRAJAYA: Semua pihak diminta untuk segera menghentikan penyebaran kandungan berunsur kebencian dan tidak bertanggungjawab di mana-mana platform media sosial.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu melibatkan sensitiviti agama dan kaum.
“Saya memandang serius penyebaran kandungan di media sosial menerusi akaun seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang menyentuh isu berkaitan agama dan menghina Islam sehingga berpotensi menggugat keharmonian awam.
“Soal agama tidak seharusnya dipermainkan atau dijadikan bahan provokasi kerana perbuatan sedemikian satu kesalahan dan boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat majmuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aaron berkata kepelbagaian agama di negara ini ialah aset yang wajib dipelihara, bukan dieksploitasi untuk kepentingan tertentu.
Beliau berkata telah dimaklumkan siasatan sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil di bawah Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah) (Tatatertib Pelajar) 2024.
Selain itu, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang turut menjalankan siasatan terhadap individu terlibat.
Aaron berkata Kementerian Perpaduan Negara terus komited memastikan keharmonian antara kaum dan agama sentiasa terpelihara.
“Saya menyeru rakyat Malaysia agar bertindak secara matang dan berhemah dalam media sosial serta sentiasa menjunjung nilai hormat dan toleransi demi keamanan negara,” katanya.
Terdahulu, polis menahan seorang penuntut UMPSA awal pagi ini kerana disyaki memuat naik dan menyebarkan kandungan menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) menerusi media sosial.
Sejak semalam, tular di media sosial kandungan bersifat provokatif termasuk menghina Nabi Muhammad SAW. – BERNAMA
