Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 24 Februari – Pemasangan sistem Distribution Transformer Meter (DTM) dan meter pintar berjaya mengesan lebih banyak kes kecurian elektrik sejak 2021 berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sehingga 2025, sebanyak 5.56 juta meter pintar telah dipasang di seluruh Semenanjung dan pemasangan itu membantu mengawal kes kecurian bekalan elektrik.

Manakala, dalam tempoh 2021 hingga 2025, sebanyak 5,133 kes berjaya dikesan, yang melibatkan kerugian RM41 juta.

Beliau mengakui kes kecurian elektrik yang direkodkan mencatatkan peningkatan selari dengan keupayaan sistem berkenaan mengenal pasti kesalahan seumpama itu.

“Kalau kita melihat kepada jumlah kes, bila dah ada meter dengan teknologi pada tahun 2021 kes berlaku 379, tahun 2022 (647 kes), tahun 2023 (999 kes), manakala pada tahun 2024, (1,298 kes) dan tahun 2025 (1,900 kes). Maknanya, dengan ada teknologi kita dapat mengesan. Sebab itu kes lebih banyak.


“Tetapi yang lebih utama ialah tindakan yang progresif dengan ada teknologi ini, kita akan mampu mengesan dan tindakan yang lebih efektif dapat dijalankan dengan semua pihak penguat kuasa yang terlibat,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata selain pemasangan DTM dan meter pintar, teknologi dron dan peranti pengimejan haba turut digunakan bagi mengesan haba berlebihan di premis disyaki, sekali gus membantu mengenal pasti aktiviti perlombongan kripto secara haram dengan lebih efektif.

Beliau menjawab soalan tambahan ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung yang ingin tahu jangkaan penurunan kerugian selepas sistem DTM dan meter pintar dipasang.

Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut menekankan kepentingan pemilik rumah dan premis perniagaan diberi kesedaran untuk menukar nama akaun meter elektrik kepada penyewa.

“Kita memberi kesedaran kepada pengguna terutamanya pemilik rumah yang meter mereka bila dia sewakan rumah ataupun premis kediaman ataupun premis perniagaan dia tidak tukarkan meter kepada penyewa. Itu yang banyak menjadi mangsa sekarang ini. Kita memberi kesedaran pastikan bila sewakan rumah mereka pastikan tukar nama kepada penyewa supaya mereka tidak menjadi mangsa,” katanya.

Menurutnya, kegagalan berbuat demikian menyebabkan pemilik berisiko menanggung tunggakan bil yang tinggi, termasuk kes mencecah ratusan ribu ringgit akibat kegiatan penyewa yang menjalankan perlombongan kripto tanpa kebenaran.

Tegas beliau, kerajaan akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan dan kempen kesedaran bagi memastikan keselamatan sistem tenaga negara sentiasa terpelihara.-Berita RTM