KUALA LUMPUR, 24 Februari – Penyelesaian komprehensif dilaksanakan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air bagi menurunkan bagi kadar pembaziran air.
Ini termasuk menerusi inisiatif penggantian meter air yang lama dan usang yang berjaya merekodkan kadar kerugian yang lebih tepat.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sebelum ini, kadar NRW direkodkan berdasarkan anggaran semata-mata.
Menerusi inisiatif dilaksana membolehkan operator dan pihak terlibat mengenal pasti tahap sebenar kehilangan air, sekali gus memblehkan tindakan lebih bersasar, dirangka.
“Bila penggantian (meter) itu, kita nampak kadar kerugian itu lebih tepat, dulu anggaran sebab meter usang meter rosak. Apabila gantian dilakukan termasuk bekalkan tangki dan meter baharu ini, kadar sukatan loji dan meter baharu dan akhirnya di rumah. Ada negeri meningkat dan lebih tepat dengan meter baharu itu.
“Sebagai contoh di Johor, dapat kurangkan kadar NRW 24 peratus. Kalau di Kelantan pada tahun 2024 itu 51 peratus. Apabila meter baharu dipasang di loji, kita dapat lihat berlaku peningkatan 51.8 peratus,” katanya, ketika menjawab soalan ahli Parlimen Kubang Kerian Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat.
Datuk Seri Tuan Ibrahim meminta penjelasan mengenai langkah pembetulan yang segera dan konkrit yang diambil pihak Kementerian untuk mencapai sasaran 25 peratus kadar NRW menjelang 2030.
Beliau turut membangkitkan mengenai sebab utama sasaran NRW sebanyak 31 peratus pada 2025 gagal dicapai walaupun sebanyak RM2.525 bilion diperuntukkan di bawah Belanjawan 2025.
Datuk Seri Fadillah memaklumkan Kedudukan kewangan operator air yang kurang mampan dan kesan pandemik COVID-19 dikenal pasti antara faktor utama sasaran kadar NRW sebanyak 31 peratus yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sukar dicapai.
Beliau berkata inisiatif pengurangan NRW perlu dilaksanakan secara berterusan dan memerlukan pelaburan yang amat besar.
“Bagaimanapun, kedudukan kewangan operator air yang kurang mampan berikutan kadar tarif air sedia ada yang masih tidak menggambarkan kos operasi sebenar telah mengehadkan kemampuan operator air untuk melaksanakan program pengurangan NRW sedia ada. Ini menyebabkan kesukaran untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
“Pandemik COVID-19 pada 2020 dan 2021 juga telah menjejaskan pelaksanaan Program NRW yang dirancang, sekali gus menyebabkan sebahagian pelaksanaannya tertangguh dan menjejaskan pencapaian sasaran 31 peratus yang ditetapkan,” katanya.-Berita RTM
