KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang meneliti pindaan berkaitan peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi memperuntukkan had laju 30 kilometer sejam (km/j) secara khusus di zon sekolah.
Menterinya, Anthony Loke, berkata kerajaan melalui Jawatankuasa Kabinet Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya(JKMKKJR) sebelum ini bersetuju menetapkan had kelajuan maksimum 30 km/jdi kawasan zon sekolah sebagai dasar nasional bagi meningkatkan keselamatan murid dan warga sekolah.
“Daripada segi mekanisme pelaksanaan dan penguatkuasaan, MOT sedang meneliti pindaan berkaitan Kaedah-Kaedah di bawah Akta 333bagi memperuntukkan had laju 30 km/j secara khusus di zon sekolah.
“Pindaan ini dilaksanakan secara komprehensif dengan pembabitan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan termasuk Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), PLANMalaysia, Kementerian Pendidikan(KPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).
“Dari aspek penguatkuasaan, sebaik sahaja pewartaan had laju 30 km/j dimuktamadkan, tindakan undang-undang boleh diambil mengikut peruntukan sedia ada Akta 333 oleh PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Kalam Salan (PN – Sabak Bernam) yang ingin tahu apakah mekanisme pelaksanaan penguatkuasaan (tindakan undang-undang) had laju maksimum diturunkan daripada 50 km/j kepada 30 km/j di zon sekolah oleh JKMKKJR.
Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan penguatkuasaan yang akan dilaksanakan Loke berkata ia melalui pendekatan termasuk operasi bersepadu di kawasan sekolah terpilih dan pemasangan papan tanda had laju baharu dan penandaan jalan yang jelas.
“Selain itu, penggunaan kamera penguatkuasaan automatik tertakluk kepada kesesuaian lokasi dan pemantauan berkala di waktu puncak persekolahan,” katanya.
Pada masa sama, katanya kerajaan tidak hanya bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata.
“Melalui Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Projek Zon Sekolah Selamat sedang dilaksanakan sebagai projek rintis di sekolah berisiko tinggi bagi menyokong pelaksanaan dasar had laju 30 km/j.
“Antara intervensi fizikal di bawah Projek Zon Sekolah Selamat termasuk penyempitan lorong dan pembinaan laluan pejalan kaki; lintasan pejalan kaki bertingkat dan pembinaan pulau perlindungan (refuge island) dan pulau tengah (median); serta penambahbaikan papan tanda dan perabot jalan.
“Kerajaan yakin bahawa gabungan pendekatan kejuruteraan, pendidikan dan penguatkuasaan ini akan dapat mengurangkan risiko kecederaan serius dan kematian di kawasan sekolah, selaras dengan aspirasi Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030,” katanya.-BH Online
