KUALA LUMPUR, 23 Februari – Tiada warganegara Malaysia dilaporkan terkesan susulan gelombang keganasan yang tercetus di beberapa wilayah di Mexico akibat operasi keselamatan oleh pihak berkuasa tempatan.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bandar Mexico sedang memantau rapat perkembangan situasi berkenaan yang melibatkan wilayah Jalisco, Colima, Michoacan, Nayarit, Guanajuato dan Tamaulipas.
“Warganegara Malaysia yang berada di Mexico atau merancang perjalanan ke negara itu dinasihatkan supaya kekal waspada, mengelakkan kawasan perhimpunan awam serta mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.
“Mereka juga digalakkan mendaftar keberadaan menerusi sistem e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan penyaluran maklumat dan bantuan,” menurut kenyataan itu.
Bagi sebarang bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bandar Mexico di talian +52 55 5282 4656 atau +52 55 5282 5166 atau melalui e-mel mwmexico@kln.gov.my dan mex.receptionist@kln.gov.my.
Kementerian akan terus memantau perkembangan situasi dan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.-Berita RTM
