Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 23 Februari – Kementerian Pengangkutan memaklumkan Rapid Rail Sdn. Bhd. (RRSB) akan memanjangkan tempoh waktu puncak perkhidmatan rel sepanjang bulan Ramadan bagi menampung perubahan corak perjalanan pengguna.

Menterinya, Anthony Loke berkata langkah itu dilaksanakan setiap kali Ramadan sebagai pendekatan proaktif memastikan kelancaran operasi dan keselesaan penumpang.

“Untuk bulan Ramadan ini, waktu puncak pagi dipanjangkan bermula 6.30 pagi hingga 9.30 pagi berbanding 7.00 pagi hingga 9.30 pagi pada bulan biasa. Manakala waktu puncak petang dipanjangkan dari 4.00 petang hingga 8.00 malam berbanding 5.00 petang hingga 7.30 malam pada bulan lain.

“Langkah ini dilaksanakan bagi memastikan kelancaran perkhidmatan, meningkatkan keselesaan penumpang dan menjamin kecekapan operasi khususnya dalam mengurus pergerakan penumpang pada waktu perjalanan pulang awal untuk persediaan berbuka puasa”, katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dalam Dewan Rakyat hari ini.-Berita RTM