KUALA LUMPUR, 23 Februari – Sebanyak 5,910 majikan sektor swasta telah membuat permohonan untuk menyertai Dasar Gaji Progresif (DGP) menerusi Sistem Gaji Progresif, setakat 31 Disember 2025.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak 4,025 majikan telah menaikkan gaji pekerja mengikut syarat insentif DGP.
Langkah tersebut sekali gus memberi manfaat kepada 51,363 pekerja.
Menurut beliau, dari segi keberkesanan, DGP menunjukkan kejayaan dalam meningkatkan gaji median pekerja sehingga 31 Disember 2025.
“Bagi pekerja peringkat permulaan iaitu bekerja dalam tempoh 12 bulan, gaji median meningkat sebanyak RM300 daripada RM1,900 kepada RM2,200, iaitu kenaikan sebanyak 16 peratus.
“Sementara itu, bagi pekerja bukan peringkat permulaan iaitu bekerja melebihi 12 bulan, gaji median meningkat kira-kira RM238.85 daripada RM2,199.15 kepada RM2,438.00 dengan peratus kenaikan sebanyak 11 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman pada persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen.
Tambahnya, pelaksanaan DGP dibuat secara sukarela oleh majikan tanpa sebarang paksaan kerana kerajaan mahu penyertaan berlaku atas dasar keyakinan majikan terhadap dasar tersebut.
Menurut beliau, peningkatan penyertaan itu membuktikan pendekatan kerajaan bukan sahaja memberi galakan kepada majikan, malah berupaya meningkatkan motivasi serta produktiviti pekerja.-Berita RTM
