KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) memperuntukkan lebih RM137 juta tahun ini bagi memperkukuh pencegahan awal penyakit tidak berjangkit (NCD) susulan peningkatan komplikasi diabetes dan penyakit jantung yang memberi tekanan kepada sistem kesihatan negara.
Pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata peruntukan khusus itu disalurkan menerusi beberapa inisiatif saringan, rawatan dan advokasi pemakanan sihat.
“Daripada angka itu, RM10 juta bagi Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) yang bertujuan memperluas saringan awal faktor risiko penyakit tidak berjangkit kepada rakyat berumur 18 tahun ke atas.
“Sebanyak RM80 juta pula diperuntukkan bagi Program PeKa B40 yang menyediakan saringan kesihatan percuma kepada golongan berpendapatan rendah, manakala RM1.7 juta bagi Inisiatif War on Sugar iaitu kempen advokasi pemakanan sihat bagi mengurangkan pengambilan gula berlebihan,” katanya
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) mengenai tahap kesiapsiagaan hospital kerajaan menghadapi peningkatan NCD seperti diabetes dan penyakit jantung serta peruntukan khusus bagi pencegahan awal.
Dzulkefly berkata RM45.4 juta pula diperuntukkan bagi memperluas akses kepada ubat SGLT2 inhibitors (SGLT2i) untuk rawatan diabetes serta mengurangkan risiko komplikasi seperti penyakit buah pinggang kronik dan kegagalan jantung, seterusnya mengurangkan kemasukan ke hospital dan kos rawatan jangka panjang.
Beliau berkata beban ekonomi akibat NCD seperti penyakit kardiovaskular, kanser, diabetes dan penyakit paru-paru kronik di Malaysia dianggarkan mencecah RM64.2 bilion, melibatkan RM12.4 bilion kos rawatan kesihatan dan RM51.8 bilion kos tidak langsung termasuk kehilangan produktiviti dan kematian pramatang.
Menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) mengenai statistik terkini NCD, Dzulkefly berkata sebanyak 1.8 juta individu menjalani saringan menerusi NHSI setakat tahun lepas, dengan 17.9 peratus dikesan mengalami tekanan darah tinggi manakala sembilan peratus mempunyai paras gula tinggi.-BERNAMA
