KUALA LUMPUR: Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) terus komited memperkukuh ekosistem kesejahteraan warga pertahanan negara melalui pembangunan kemahiran, peningkatan kebolehpasaran dan mobiliti ekonomi lebih mampan.
Terbaru, antara usaha diambil adalah pelaksanaan Program Latihan Kemahiran Anak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Anak Veteran ATM (LAKSAMANA 3.0) yang bermula 8 Februari lalu di Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) Kemaman, Terengganu.
Semalam, Yayasan LTAT meraikan kejayaan Kohort 1 membabitkan peserta yang berjaya menamatkan fasa latihan teknikal dalam bidang Pengujian Tanpa Musnah (NDT).
Majlis berlangsung di RSA Academy Sdn Bhd (RSA Academy), sekali gus menandakan selesainya fasa latihan intensif selama 14 hari, membabitkan 15 peserta dalam kalangan anak anggota dan veteran ATM.
“Penyempurnaan fasa ini mencerminkan kemajuan awal pelaksanaan LAKSAMANA 3.0 yang digerakkan melalui pendekatan berstruktur dan berorientasikan keperluan industri.
“Sepanjang tempoh latihan, peserta mengikuti modul komprehensif merangkumi penguasaan teori, pematuhan kepada standard dan prosedur industri,
latihan amali mengikut situasi sebenar serta disiplin dokumentasi teknikal.
“Penekanan turut diberikan kepada aspek integriti kerja, ketelitian pemeriksaan dan pematuhan keselamatan, selari dengan keperluan sektor industri berteknologi tinggi,” kata Yayasan LTAT dalam kenyataan semalam.
Katanya, Pencapaian awal Kohort 1 ini menjadi penanda aras penting dalam memastikan kesinambungan dan keberkesanan pelaksanaan keseluruhan Program LAKSAMANA 3.0.
Pelaksanaan LAKSAMANA 3.0 adalah kesinambungan langsung kepada memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Yayasan LTAT dan Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia untuk Teknologi Tinggi pada 21 Mei 2025.
Kerjasama strategik ini menandakan kali kedua kedua-dua pihak berganding bahu dalam memperluas akses latihan kemahiran teknikal berimpak tinggi kepada anak warga ATM.
Pemilihan bidang NDT adalah antara kompetensi kritikal dalam industri minyak dan gas (O&G), aeroangkasa, pembinaan serta tenaga yang memerlukan tahap ketepatan dan pematuhan piawaian keselamatan tinggi.
Pendedahan awal kepada persekitaran kerja sebenar ini memperkukuh asas teknikal peserta sebelum melangkah ke fasa seterusnya.
Selaras dengan model Train & Place (latih dan tempatkan) yang menjadi teras pelaksanaan LAKSAMANA 3.0, peserta akan memulakan fasa penempatan industri selama dua bulan bermula 1 Mac hingga 30 April ini.
Fasa ini memberi peluang peserta mengaplikasikan kemahiran diperoleh dalam persekitaran kerja sebenar dan dinilai berdasarkan standard kompetensi industri semasa.
Proses saringan ketat juga dilakukan apabila daripada 127 permohonan diterima bagi Kohort 1, hanya 15 peserta dipilih, sekali gus mencerminkan pemilihan teliti dan memastikan peserta benar-benar bersedia memenuhi tuntutan latihan serta industri.-BH Online
