Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SUNGAI PETANI: Prestasi politik Kerajaan MADANI yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini mampu mengekalkan kestabilan kerajaan sedia ada, sekali gus memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara. 

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Kerajaan Persekutuan membuktikan keupayaannya mengekalkan kestabilan politik sepanjang tiga tahun pentadbiran, disokong petunjuk ekonomi yang semakin memberangsangkan.

Tiga PM dalam lima tahun

Beliau berkata dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, negara hanya diterajui seorang Perdana Menteri, berbeza dengan situasi sebelum ini yang menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri dalam tempoh lima tahun.

“Kami tidak kuat kerana rumah tangga lawan porak-peranda, itu urusan mereka tapi kami kuat bila bina kekuatan sendiri,” katanya semasa sesi dialog MPN PKR Kedah bersama media di sini malam tadi. 

Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata cabaran utama parti ketika ini ialah menterjemahkan pencapaian kerajaan dalam bentuk naratif komunikasi yang jelas dan mudah difahami supaya rakyat dapat menilai manfaat kesinambungan pentadbiran sedia ada. 

Saifuddin Nasution yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah berkata rakyat wajar menilai prestasi Kerajaan Persekutuan yang terus memberi perhatian terhadap kepentingan negeri itu. 

“Sebagai pembangkang di Kedah, selain berperanan sebagai ‘semak dan imbang’ atau mengambil pendekatan dengan mengkritik secara konstruktif, kami akan menawarkan alternatif di peringkat negeri.

“Rakyat boleh lihat bagaimana prestasi di peringkat Kerajaan Persekutuan dan kesannya untuk rakyat negeri ini,” katanya. 

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata parti perlu memahami dinamik sokongan pengundi muda yang boleh berubah dalam tempoh singkat menjelang pilihan raya. 

“Golongan muda boleh membuat pilihan yang berani, sebab itu jika ada isu yang tidak dapat ditangani dengan baik akan mewujudkan gelombang yang menyebabkan sokongan anak muda mudah beralih. 

“Sebab itu penting memastikan golongan muda ini memahami proses demokrasi, proses kenegaraan supaya tidak hanya memilih pemimpin berdasarkan parti, sebaliknya berdasarkan prestasi dan juga kredibiliti,” katanya.-BH Online