Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEPANG: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mahu masalah lebih 200 penduduk di Flat Taman Permata, Dengkil, terputus bekalan elektrik sejak lima hari lalu diatasi segera tanpa sebarang alasan.

Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata pihaknya memahami masalah itu membabitkan isu keselamatan berhubung pendawaian utama bangunan yang memerlukan kerja pendawaian semula dilaksanakan, namun tempoh pembaikannya perlu disegerakan demi kesejahtaraan rakyat.

Susulan itu, beliau berkata, tempoh pembaikan yang dimaklumkan mengambil masa kira-kira seminggu mesti dipatuhi.

“Kita memandang serius gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan penduduk Blok 5, Flat Taman Permata, Dengkil, sejak lima hari lalu dan tidak berkompromi dalam isu membabitkan keselamatan rakyat.

“Lawatan bersama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) selaku badan pengurusan bersama (JMB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) ke lokasi mendapati berlaku risiko kebocoran arus yang boleh mengancam keselamatan penghuni.

null

“Jadi, bekalan elektrik terpaksa dipotong sementara oleh pihak TNB berikutan risiko itu dan saya mengarahkan PNSB melaksanakan kerja pembaikan segera tanpa sebarang alasan atau kelewatan.

“Selain itu, mereka perlu memberikan penjelasan rasmi dan bertulis kepada keluarga yang terjejas,” katanya selepas mengadakan tinjauan dan bertemu penduduk di flat Taman Permata, hari ini.

Difahamkan, seramai 46 keluarga membabitkan lebih 200 penghuni terkesan dengan insiden ini yang juga kerosakan kali kedua selepas kejadian sama pada tahun lalu.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor membelanjakan kira-kira RM1.5 juta bagi menempatkan penduduk di perumahan sementara itu susulan keadaan kediaman daif selama hampir suku abad sebelum mereka dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat Ampar Tenang yang siap dibina tahun lalu.

Aiman Athirah yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata, sebarang kelewatan pembaikan yang tidak munasabah akan dipersoalkan dan tindakan susulan akan dipertimbangkan.

Katanya, sebagai langkah segera, beliau turut berbincang dengan Pegawai Daerah Sepang untuk memindahkan penduduk terjejas ke Pusat Teduhan Sementara (PTS) bagi membantu penghuni yang memerlukan dengan kos ditanggung pihak JMB.

“Isu ini sudah dibangkitkan kepada kepimpinan tertinggi PNSB supaya penyelesaian menyeluruh dilaksanakan dan bukan sekadar langkah sementara.

“Semua penduduk terbabit sebenarnya boleh dipindahkan ke PPR Ampar Tenang yang disiapkan KPKT, namun masih terdapat beberapa proses dokumentasi dan penyelesaian hutang dengan PNSB yang belum dimuktamadkan.

“Saya beri jaminan kebajikan dan keselamatan penduduk akan terus diutamakan serta pemantauan rapi dilakukan sehingga bekalan elektrik dipulihkan sepenuhnya,” katanya.-BH Online