Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 22 Februari – Anak muda diseru agar memanfaatkan Ramadan sebagai madrasah terbaik untuk membina jati diri, memperkukuh keimanan dan mengangkat martabat umat melalui pengimarahan masjid.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata antara pendekatan yang digerakkan kerajaan ialah mendekatkan generasi muda dengan institusi masjid supaya mereka bukan sahaja hadir beribadah, malah mendalami ilmu serta memperkukuh amalan.

Tambahnya, memakmurkan masjid bukan sekadar memenuhi ruang solat, tetapi memahami peranan besar yang digariskan dalam al-Quran, mendirikan solat dan menyempurnakan tanggungjawab sosial termasuk zakat serta kebajikan masyarakat.

“Menyerah pada Allah dan ada tugas pada masyarakat. Sebab itu dikaitkan solat dengan zakat. Dan kalau benar anak muda punyai kekuatan itu, semangat itu, dedikasi dan minat yang sedemikian, dia tidak akan gentar pada segala bentuk masalah dan ujian melainkan hanya takut pada Allah Taala, jadi rumusan itu sangat menarik,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri dan pelancaran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan serta Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari.-Berita RTM