Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata usaha mempererat persahabatan Malaysia dan Singapura antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan beliau dengan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, perbincangan turut menyentuh mengenai langkah untuk memperkukuh kerjasama dalam menyelesaikan isu tertunggak membabitkan kedua-dua negara.

“Saya amat menghargai kunjungan Perdana Menteri Lawrence yang menjadi manifestasi persahabatan kedua-dua negara, di samping memperteguhkan hubungan peribadi antara kami.

“Semoga pertemuan ini serta keberkatan Ramadan terus menyuburkan persefahaman dan kemakmuran berpanjangan kepada rakyat Malaysia dan Singapura,” katanya.

Perdana Menteri turut menyifatkan pertemuan dengan Wong cukup bermakna kerana ia berlangsung di sebuah rumah agam berusia lebih seabad yang juga saksi kepada pelbagai detik penting sejarah, termasuk pemeteraian Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1948 serta Perjanjian Kemerdekaan pada 1957.

“Saya dan PM Lawrence meneruskan coretan sejarah ini dalam pertemuan selama hampir tiga jam.

“Kami sempat meninjau serta mendengar penerangan mengenai sejarah dan usaha pemuliharaan Seri Negara menerusi inisiatif Warisan Kuala Lumpur,” katanya.

Pada pertemuan itu, Anwar turut menganjurkan majlis makan malam sempena lawatan Wong.

Wong yang tiba di Malaysia pada jam 4.05 petang, berlepas pulang malam ini selepas menamatkan lawatan khas ke Malaysia.

Kementerian Luar dalam kenyataan semalam memaklumkan kedua-dua Perdana Menteri dijangka membincangkan kerjasama dua hala dan isu kepentingan bersama termasuk hasil pemukiman pemimpin pada 4 Disember lalu.

Singapura ialah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan mencecah RM402.35 bilion (USD93.97 bilion) pada 2025, meningkat 1.5 peratus berbanding 2024.

Sementara itu, Wong menzahirkan penghargaan kepada rakan sejawatnya itu, atas undangan berbuka puasa semasa lawatan khas beliau ke Malaysia.

“Terima kasih PM Anwar Ibrahim atas undangan untuk menyertai anda berbuka puasa di Kuala Lumpur, bertempat di Seri Negara yang bersejarah.

“Saya amat menghargai layanan mesra yang diberikan serta peluang untuk bertukar-tukar pandangan secara terbuka mengenai pelbagai isu.

“Mengucapkan selamat menyambut Ramadan yang penuh barakah kepada anda dan seluruh rakyat Malaysia. Saya menantikan pertemuan kita yang seterusnya,” ,” katanya dalam hantaran di akaun Facebook rasmi beliau.

Sebelum mesyuarat empat mata itu, kedua-dua pemimpin turut melawat beberapa galeri di mercu tanda bersejarah itu, termasuk Ruang Merdeka: Galeri Khazanah.-BH Online