Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PAPAR: Bekalan air di kawasan Kinarut dan Kawang dalam daerah ini yang terganggu teruk sejak Disember lalu kini kembali beransur pulih dan stabil, kata Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali. 

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata ia susulan tindakan intervensi meningkatkan kapasiti rawatan Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon sedia ada kepada sebanyak 10 peratus sepanjang tiga minggu lalu.

“Saya sempat bertanya warga kampung berhubung tahap bekalan air terawat di Kampung Kawang. Alhamdulillah, mereka maklumkan sejak langkah intervensi selesai dilaksanakan kira-kira tiga minggu lalu, penyaluran bekalan air telah stabil dan sudah tidak tertakluk kepada jadual catuan. 

“Selepas berhadapan dengan gangguan bekalan kritikal bermula penghujung Disember 2025, saya dan ADUN-ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) telah berbincang dengan Ketua Menteri dan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mencari kaedah intervensi segera.

“Langkah intervensi yang diputuskan adalah meningkatkan kapasiti rawatan LRA Kogopon sedia ada sebanyak 10 peratus (empat JLH) yang melibatkan kerja-kerja menaik taraf pam sedia ada dan saluran paip ke tangki utama P3 di Kampung Kawang.

“Syukur kerja-kerja berjalan dengan lancar dah siap dalam tempoh dua minggu yang telah menghasilkan kestabilan bekalan air bagi Mukim Kinarut termasuk Kampung Kawang,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman media sosial Facebook rasminya, hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan gangguan bekalan air kritikal yang melanda di kawasan Kinarut dan Kawang dikenal pasti berpunca daripada gangguan ke atas injap pintu air di dua pam penggalak tekanan.

Mengulas lanjut, Armizan berkata inisiatif terbabit adalah langkah intervensi jangka pendek sementara menanti siapnya penyelesaian jangka panjang dengan pengoperasian LRA Kogopon 2 kelak dengan tambahan kapasiti rawatan 40 JLH.

Katanya, menerusi langkah terbabit, ia akan menambah dan menstabilkan bekalan air bagi keseluruhan Parlimen Papar dan kawasan utara Parlimen Kimanis serta kawasan selatan Parlimen Putatan. 

“Saya akan terus memantau agar Projek Naik Taraf LRA Kogopon 2 siap mengikut jadual penghujung tahun 2026.

“Bagi pihak warga Papar, saya rakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Setiausaha Kerajaan Negeri dan warga Jabatan Air Negeri Sabah khususnya Jabatan Air Papar yang bertungkus lumus menyelesaikan isu rakyat di kawasan terkesan sejak sekian lama,” katanya.-BH Online