JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor terus memperkukuh kerjasama strategik bersama kerajaan Johor dalam usaha memantapkan tadbir urus serta memperkasa budaya integriti di negeri ini.
Pengarah SPRM Johor, Hairuzam Mohmad Amin @ Hamin berkata, komitmen itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bimbang amalan rasuah masih berleluasa dan tidak lagi dianggap bercanggah dengan ajaran agama serta nilai moral.
“Usaha pencegahan serta tindakan operasi di negeri ini akan terus diperkasa dan dilaksanakan secara progresif, menyeluruh dan berterusan bagi memastikan gejala rasuah dapat dibendung dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, di kediaman rasmi Menteri Besar di sini, kelmarin.
Turut hadir, Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Johor, Hairul Ilham Hamzah dan Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Johor, Sheikh Hamadi Sheikh Abdul Hamid.
Sementara itu, Onn Hafiz turut mengingatkan semua penjawat awam negeri supaya menjaga integriti dan tidak meminta atau menerima imbuhan yang boleh menjejaskan ketelusan serta imej perkhidmatan awam.
“Untuk rekod, pertemuan itu antara lain membincangkan isu semasa berkaitan rasuah selain mengukuhkan kerjasama antara agensi penguat kuasa dan kepimpinan kerajaan negeri.
“Kedua-dua turut menyentuh hal integriti serta tadbir urus di Johor termasuk cabaran dalam penguatkuasaan dan usaha mempertingkat mekanisme pencegahan rasuah secara menyeluruh,” katanya.-BH Online
