IPOH: Operasi Pembenihan Awan (OPA) bagi menangani masalah paras air di dua empangan di Perak akibat cuaca kering berjaya apabila hujan lebat terhasil di kawasan tadahan yang disasarkan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, biarpun banjir kilat melanda beberapa kawasan khususnya di bandaraya Ipoh baru-baru ini dikaitkan dengan OPA itu, beliau melihat ia sangat diperlukan bagi menjamin bekalan air dan pengairan negeri.
Katanya, banjir kilat yang berlaku itu adalah di luar kawalan, ketika permintaan orang ramai supaya OPA dibuat bagi kepentingan lain termasuk pengairan serta penjanaan tenaga hidroelektrik di empangan sepanjang Sungai Perak termasuk di Empangan Chenderoh, Kuala Kangsar.
“Ia bukan banjir yang disebabkan oleh Sungai Perak memandangkan sungai itu kering, tetapi banjir yang disebabkan oleh hujan begitu lebat dan perparitan yang tidak dapat menampung air sebegitu banyak.
“Memang permintaan kerajaan negeri untuk melakukan pembenihan awan di Bukit Merah dan juga di Belum iaitu di Tasik Temengor. Pembenihan awan itu pun berjaya hasilkan hujan lebat.
“Namun kita tak dapat nak mengawal hujan. OPA itu juga adalah permintaan orang ramai untuk menampung kekurangan air di Tasik Temengor, Tasik Chenderoh.
“Jika kita tak melakukannya maka ia menjejaskan penjanaan tenaga elektrik,” katanya.
Saarani berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu Majlis Walkabout beliau ke Bazar Ramadan Perkarangan Stadium Perak, di sini hari ini.
Pada 13 Februari lalu, akhbar melaporkan OPA dilaksanakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggunakan kira-kira 800 kilogram (kg) semburan campuran air garam bagi menangani masalah paras air di tujuh empangan termasuk di Perak.
Ia susulan permintaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak bagi pelaksanaan OPA di dua empangan iaitu Empangan Bukit Merah di daerah Kerian dan Empangan Temengor di hulu Sungai Perak yang dilaporkan turut mengalami penyusutan paras air mendadak sejak Januari lalu.
Kata Saarani lagi, pengeringan paras air Sungai Perak bukan hanya menjejaskan penjanaan tenaga elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), malah turut menjejaskan bekalan air domestik.
Ini kerana muka sauk kendalian JPS serta Lembaga Air Perak (LAP) yang terdapat di Sungai Perak tidak menerima air yang cukup.
“Pada masa sama, bila air kurang di tasik-tasik buatan, maka TNB tidak dapat melepaskan air, menyebabkan berlaku kering air di ‘bawah’ (hilir) iaitu Kuala Kangsar hingga Teluk Intan serta menjejaskan pula muka sauk LAP dan JPS.
“Justeru, kita buat OPA untuk menghasilkan hujan di Temengor supaya air mencukupi untuk TNB menjana elektrik dan jika berlaku lebihan air, maka Empangan Chenderoh akan lepaskan air.
“Pada waktu sama kita perlukan air untuk pengairan di sebelah utara iaitu Tasik (Empangan) Bukit Merah,” katanya.
Saarani berkata pelaksanaan OPA selepas ini bergantung pada keadaan termasuk mendapatkan nasihat daripada jabatan teknikal terutamanya Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Isnin lalu, media melaporkan hujan lebat berterusan selama lebih dua jam, mengakibatkan banjir kilat melanda beberapa lokasi di sekitar daerah Kinta termasuk di beberapa kawasan di Ipoh termasuk di gugusan Manjoi.-BH Online
