PELABUHAN KLANG: Sejumlah 186,737 kilogram (kg) sisa elektronik (e-waste) dari Kanada, Sepanyol, Croatia bernilai lebih RM2.1 juta dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang dalam satu operasi di Pelabuhan Utara, 3 Februari lalu.
Pengarah Kastam Pahang, Mohd Asri Seman, berkata rampasan hasil dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor yang menahan lapan kontena di Pelabuhan Utara, kira-kira jam 11 pagi, pada 3 Februari lalu.
“Hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati komoditi barangan terbabit adalah sisa elektronik (e-waste) dipercayai diimport tanpa permit import serta diikrar dagangan import secara tidak betul dalam borang pengikraran.
“Rampasan e-waste yang terdiri dari sampah bercampur wayar, kabel, komponen komputer dengan anggaran berat keseluruhan sebanyak 186,737 kg dengan nilai anggaran sebanyak RM2,152,476.
“Siasatan mendapati, lima kontena dari negara Kanada, dua dari Sepanyol dan sebuah dari Croatia,” katanya dalam sidang media di Pelabuhan Utara, di sini hari ini.
Mohd Asri berkata, pengimportan barangan e-waste adalah larangan bersyarat kecuali mengikut cara yang diperuntukkan di Bawah Butiran 54, Bahagian 1, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 yang memerlukan kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar.
Beliau berkata, menjadi amalan biasa dalam pasukan JKDM menjalankan operasi serbuan rentas negeri dengan menjelaskan kes rampasan yang didedahkan hari ini adalah maklumat yang diterima JKDM Pahang.
“Bagi Bahagian Penguatkuasaan JKDM, kita tidak ada sempadan, mana-mana bahagian penguatkuasaan di seluruh negara, sekiranya kita mendapat maklumat, bahagian penguatkuasaan negeri berkenaan boleh mengambil tindakan.
“Contohnya (JKDM) Selangor, boleh mengambil tindakan terhadap apa-apa aktiviti haram atau penyeludupan di negeri Pahang ataupun di negeri Kedah dan mana-mana negeri (sekiranya menerima maklumat).
“Apabila terima maklumat, ini satu polisi yang dibuat oleh JKDM untuk mengekalkan maklumat itu supaya tidak bocor dan sebagainya, maksudnya kalau Pahang dapat maklumat, Pahang perlu kendalikan kes berkenaan sehingga ke pendakwaan di mahkamah walaupun kes di Selangor,” katanya.-BH Online
