Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 19 Februari– Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) memperkukuh pendigitalan wakaf negara menerusi aplikasi Go Wakaf bagi memudahkan penyertaan masyarakat serta memperluas pembudayaan amalan wakaf dalam kalangan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata pendekatan digital itu membuka ruang lebih luas kepada orang ramai untuk menyumbang dengan lebih mudah, telus dan sistematik.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan bukan sekadar meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan wakaf, malah membawa amalan itu ke tahap pembudayaan yang lebih menyeluruh.

“Melalui Go Wakaf, semua orang boleh berwakaf di hujung jari.

“Selain itu, kita turut memperkenalkan garis panduan pendanaan Wakaf al-Quran yang dibangunkan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri dan YWM,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 1447H/2026 bertemakan ‘Wakaf Membangun Malaysia MADANI’ di sini, hari ini.

Dr. Zulkifli yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM berkata melalui pendekatan digital tersebut, pihaknya menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta sepanjang Bulan Wakaf Kebangsaan menerusi semua platform rasmi agensi berkenaan.

Tambah beliau, Pelan Induk Wakaf Nasional 2025-2030 yang sedang dirangka oleh JAWHAR dan YWM akan dilancarkan selepas mendapat pengesahan pihak berkuasa agama negeri serta agensi berkaitan.

Menurutnya, pendigitalan wakaf merupakan antara lima teras utama agenda sambutan tersebut.

Teras lain merangkumi Pembudayaan, Literasi dan Inklusiviti Wakaf, Tadbir Urus Berintegriti, Piawaian dan Ketelusan, Memakmurkan Aset Wakaf daripada idle kepada produktif, serta Wakaf Muaqqat (Bertempoh) yang memberi fleksibiliti baharu dan impak lebih cepat.

Pada masa sama, kempen kesedaran hasil kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengenai kepentingan serta tatacara berwakaf yang betul akan disiarkan di semua stesen televisyen utama negara bagi meningkatkan literasi wakaf dalam kalangan rakyat Malaysia.

Orang ramai kini boleh berwakaf serendah RM1 menerusi aplikasi Go Wakaf dan semua platform rasmi Yayasan Waqaf Malaysia.-Berita RTM