Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan umat Islam bahawa tuntutan puasa dan amalan lain sepanjang Ramadan bukan sekadar memenuhi syarat serta rukun, sebaliknya perlu difahami dari sudut hikmah dan objektif syariat.

Perdana Menteri berkata, puncak kenikmatan ibadah Ramadan adalah pencapaian takwa melalui proses tarbiyah yang membentuk watak, berpaksikan kesedaran hati nurani dan kewaspadaan batin yang dibangkitkan oleh rasa takut kepada Allah SWT.

“Sehubungan itu, motivasi dalam melaksanakan ibadah dalam bulan Ramadan harus didorong dengan semangat mujahadah yang bukan sahaja menggapai cita-cita ukhrawi.

“Tetapi pada masa sama akan meningkatkan disiplin kendiri, keinginan berkerja dengan sepenuh hati dalam tugas serta tanggungjawab harian,” katanya melalui hantaran di Facebook, hari ini sambil memetik firman Allah SWT berkait janji kepada mereka yang berusaha ke arah memperbaiki amalannya.

Firman Allah SWT: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan), dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah bersama orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya” (Al-‘Ankabut : 69)

Sempena menyambut Ramadan, Anwar menzahirkan rasa syukur kerana diberi kesempatan bertemu kembali bulan yang mulia dan dirindui umat Islam.

Beliau turut memetik hadis daripada Talhah bin Ubaidillah RA mengenai doa Rasulullah SAW ketika melihat anak bulan Ramadan.

Sabda Rasulullah SAW: “Ya Allah, naungilah kami dengan keamanan dan keimanan serta keberkatan, keselamatan dan kesejahteraan. Tuhanku dan tuhanmu adalah Allah.”-BH Online