Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) berjaya memperoleh diskaun yuran pengajian antara 20 hingga 30 peratus hasil rundingan dibuat dengan beberapa universiti terkemuka di Australia, sekali gus menjimatkan antara RM200,000 hingga RM300,000 bagi pembiayaan seorang pelajar.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kejayaan itu dicapai menerusi siri pertemuan rasmi bersama tiga menteri Australia dan lima universiti utama negara itu dalam lawatan kerja terbaru beliau.

“Pertemuan penting yang berlangsung Ahad lalu membabitkan Menteri Pendidikan Australia, Jason Clare; Menteri Kemahiran dan Latihan, Andrew Giles serta Timbalan Menteri Pendidikan Antarabangsa, Julian Hill.

“Alhamdulillah, misi perundingan kali ini sangat menakjubkan apabila kami berjaya menyempurnakan empat perjumpaan penting dan memperoleh perbincangan yang amat berkesan,” katanya dalam hantaran di TikTok, malam tadi.

Asyraf Wajdi berkata, lawatan itu mempunyai matlamat jelas iaitu meningkatkan akses pelajar MARA ke institusi pendidikan berkualiti tinggi di Australia, namun pada masa sama bertujuan mengurangkan kos pembiayaan luar negara.

Katanya, MARA khususnya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serius dalam memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan memperluas kemasukan serta laluan pengajian kepada pelajar.

“Objektif utama kita memastikan pelajar mendapat pendedahan silang negara yang menyeluruh dan bermanfaat. Pada masa sama, kita perlu berfikir secara kreatif bagaimana untuk meningkatkan jumlah pelajar dihantar ke luar negara dengan kos yang lebih rendah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, MARA turut meneroka model kerjasama baharu seperti program 2+2 atau 3+1 yang membolehkan pelajar mengikuti sebahagian pengajian di Malaysia sebelum menyambung baki tempoh di Australia.-BH Online