IPOH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak melupakan keluarga angkatnya, Beh Song Wan, dengan meneruskan tradisi tahunan meraikan Tahun Baharu Cina bersama-sama di Dewan Serbaguna Dato’ Haji Abdullah Ahmad, Hutan Melintang.
Beliau berkata, hari kedua perayaan itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk meluangkan masa dalam suasana penuh kemesraan dan kekeluargaan yang sentiasa dinantikan setiap tahun.
“Ini memang tradisi tahunan yang sentiasa saya nantikan. Di sinilah terjalinnya hubungan kekeluargaan yang terbina sekian lama, penuh kasih dan keikhlasan.
“Suasana sambutan ini dipenuhi gelak tawa, hidangan enak dan pelbagai topik perbualan yang membuatkan masa terasa berlalu begitu cepat … benar-benar terasa seperti pulang ke rumah sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Zahid juga menzahirkan ucapan terima kasih Song Wan yang lebih dikenali sebagai Bujang kerana saban tahun mengundang beliau meraikan perayaan berkenaan dengan sambutan penuh kemesraan.
“Semoga hubungan terjalin ini terus kekal erat dan diberkati, insya-Allah,” katanya.
Majlis Silaturahim Tahun Baharu Cina anjuran Bujang dan keluarga itu turut dihadiri rakan kepimpinan tempatan dan penduduk sekitar.
Turut diadakan persembahan tarian singa dan Ahmad Zahid juga meluangkan masa beramah mesra bersama tetamu. – BERNAMA
