Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEPANG, 17 Februari – Sambutan Tahun Baharu Cina, hari ini disemarakkan dengan majlis menyambut ketibaan penumpang antarabangsa dan domestik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

Majlis anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu menyaksikan suasana di balai ketibaan meriah dengan paluan gendang dan persembahan tarian singa yang menyambut ketibaan para penumpang.

Majlis tersebut disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang menyambut mesra kehadiran penumpang dengan diiringi Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy.

Beliau turut meluangkan masa menyampaikan pek sumbangan berisi pelbagai cenderahati merangkumi barangan keluaran tempatan.

Ketika bercakap kepada media, Datuk Seri Tiong melahirkan keterujaan dapat menyambut ketibaan pelancong ke Malaysia.

“Terima kasih kepada semua rakan-rakan media dan pihak industri penerbangan kerana dapat bersama-sama menyambut kehadiran para pelancong, sama ada dari peringkat antarabangsa mahupun domestik.

“Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina, Gong Xi Fa Cai,” katanya selepas program Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 di Balai Ketibaan KLIA 1.

Majlis tersebut turut dihadiri wakil-wakil agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Tourism Malaysia serta pengurusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).-Berita RTM