KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui kerajaan kadangkala perlu bersikap tegas dalam isu membabitkan kaum di negara ini bagi menjaga keamanan dan melindungi keharmonian hidup rakyat.
Perdana Menteri berkata, dalam kebanyakan masyarakat berbilang bangsa, cabaran utama adalah perpaduan nasional bagi mendepani isu perpecahan antara kaum dan sikap perkauman.
Perdana Menteri berkata, isu itu bukan baharu kerana sejak sebelum merdeka, pemimpin terdahulu, termasuk Alllahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sering mengingatkan mengenai kepentingan bekerjasama dan cabaran isu perkauman.
“Jika kita mahu berjaya, kita mesti menerima bahawa wujud masalah dan perbezaan, tetapi kita perlu berusaha menyelesaikannya sebagai satu masyarakat yang besar, sebagai satu keluarga rakyat Malaysia yang bersatu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh; Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing dan Presiden KLSCAH, Ngan Teng Ye.
Pada masa sama, Perdana Menteri memberi jaminan, Kerajaan MADANI akan bekerja lebih kuat bagi memastikan keamanan, keselesaan dan kejayaan semua kaum di negara ini.
Beliau berkata, Tahun Baharu Cina kali ini adalah Tahun Kuda dan ia permulaan yang baik serta memberikan petunjuk yang baik kepada negara, menggambarkan daya tahan, stamina, keyakinan serta ketangkasan.
Justeru, beliau berharap semangat itu akan terus dirasakan dari sudut ekonomi dan perpaduan, seterusnya mengangkat martabat Malaysia.
“Kita lihat angka tahun lalu dan terakhir ini, ternyata kita catat kemajuan yang jauh membanggakan. Ini kerana kerjasama semua pihak, semua rakyat dan kaum, daripada orang politik, penjawat awam, peniaga, pedagang, penjaja, semua ada sumbangan.
“Pertama, negara ini aman. Keduanya, kita ada satu semangat muafakat bersama dan ketiganya, kita kerja. Tidak ada ada negara yang boleh berjaya kalau kita gaduh-gaduh terus, tidak fokus dalam kerja kita dan tidak ada semangat bekerjasama, tolak ansur, angkat semua kaum, agama dan lapangan,” katanya.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada masyarakat Cina di negara ini yang memberi kerjasama dan menjadi sebahagian komponen penting dalam membangunkan negara.
Selain itu, Perdana Menteri meminta Hannah dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud untuk berbincang mengenai langkah pemuliharaan Dewan KLSCAH yang mencecah usia hampir 100 tahun.
“Bangunan ini mempunyai keperluan untuk mendapatkan pengiktirafan kerajaan. Jangan bimbang mengenai status tanah ini, kita adalah masyarakat yang mengambil berat dan kita juga mahu memulihara warisan ini,” katanya.
Ditemui pemberita selepas majlis itu, Anwar meminta semua pihak untuk menumpukan kepada soal perpaduan dan meraikan Tahun Baharu Cina dengan gembira.
“Selamat Tahun Baharu Cina. Tenang, kita sambut tahun baharu dan tumpu soal perpaduan, bergembira. Masalah-masalah lain kita tangguh berapa hari, OK?” katanya.-BH Online
