Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 16 Februari – Ringgit mengakhiri urus niaga Isnin dengan lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), didorong oleh pengumuman prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mengatasi jangkaan awal pada Jumaat lepas, kata ahli ekonomi.

Pada 6 petang, ringgit meningkat ke paras 3.8945/9055 berbanding dolar AS daripada paras penutup 3.9060/9115, Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata unjuran semasa KDNK pada 4.0-4.5 peratus bagi 2026 berkemungkinan besar disemak naik, disokong oleh ekonomi negara yang berdaya tahan di tengah-tengah ketidaktentuan luaran.

“Ini mungkin bermakna Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka stabil pada 2026 memandangkan tiada keperluan mendadak untuk merangsang ekonomi,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, beliau berkata inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang terus menyederhana pada Januari, turut meningkatkan jangkaan Rizab Persekutuan AS (Fed) akan meneruskan dasar pelonggaran monetari dalam separuh kedua 2026.

“Keadaan itu akan mengurangkan jurang kadar faedah antara OPR dan Kadar Dana Persekutuan,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata paras sokongan semasa dijangkakan mencecah RM3.8722 dan sebarang angka melepasi paras berkenaan akan menuju paras sokongan seterusnya RM3.6519 berbanding dolar AS.

Pada penutup urus niaga hari ini, ringgit diniagakan mengukuh berbanding mata wang utama.

Ini termasuk naik berbanding yen Jepun kepada 2.5356/5430 daripada 2.5435/5474 dicatatkan pada Jumaat lepas, mengukuh berbanding euro kepada 4.6204/6335 daripada 4.6325/6390 dan naik berbanding pound Britain kepada 5.3137/3287 daripada 5.3211/3286.

Ringgit juga mengukuh berbanding kelompok mata wang negara anggota ASEAN, termasuk naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0860/0949 daripada 3.0904/0950.

Selain itu, ringgit juga meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.5205/5619 daripada 12.5607/5849, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 231.4//232.2 daripada 231.9/232 sebelum ini dan naik berbanding peso Filipina pada 6.71/6.74 daripada 6.73/6.74.

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikat akan ditutup pada 17-18 Feb, 2026, bersempena cuti umum Tahun Baharu Cina dan beroperasi semula pada 19 Feb, 2026.— BERNAMA