Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 16 Februari – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia agar terus memperkukuh keharmonian, saling menghormati dan memilih jalan dialog dalam mendepani perbezaan pandangan sempena sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata perayaan itu mengingatkan rakyat tentang nilai kemakmuran, harapan dan kekuatan untuk melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan.

“Pada tahun Kuda ini, ketekunan, keberanian dan semangat juang diraikan seiring tuntutan untuk bertindak dengan kebijaksanaan serta kesederhanaan.

“Confucius mengingatkan kita bahawa keharmonian lahir apabila manusia saling menghormati dan memahami satu sama lain. Inilah asas yang memungkinkan masyarakat berbilang kaum hidup bersama secara aman walaupun berbeza latar budaya dan kepercayaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata dalam suasana wacana awam yang mudah dipengaruhi emosi dan hasutan, rakyat tidak boleh membiarkan perbezaan pandangan meretakkan hubungan serta menghakis kepercayaan yang telah lama terbina.

“Sebaliknya, perbezaan ini harus menjadi ruang untuk memperteguh semangat muhibah, menolak prasangka serta memilih jalan dialog, rundingan dan kebijaksanaan.

“Saya yakin Malaysia akan terus melangkah gagah apabila keharmonian, rasa hormat dan ihsan dijadikan pegangan bersama,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar seluruh rakyat Malaysia dilimpahkan kesejahteraan dan kemakmuran sepanjang tahun ini.-Berita RTM