BATU PAHAT: “Alhamdulillah, rezeki sempena kedatangan Ramadan,” kata pekebun kecil, Puziah Ma’an, 57, yang menjadi individu terawal di negeri ini menerima bantuan Program Budi Agrikomoditi Sektor Peladangan, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Parit Sulong, hari ini.
Ibu lima anak itu antara 30 individu menerima bantuan keseluruhan RM2,400 setahun atau RM200 sebulan sebagai inisiatif kerajaan terutama KPK untuk meringankan beban pekebun kecil.
Puziah yang menjalankan penanaman semula kelapa sawit seluas 1.2 hektar, berkata dia bersyukur kerana bantuan ini menyemarakkan lagi usaha menambah pendapatan keluarga.
“Baru dua hari lalu saya memohon, hari ini bantuan sudah diluluskan. Alhamdulilah, bantuan ini menampung kos ditanggung bagi penanaman semula kelapa sawit yang sangat tinggi.
“Kelapa sawit adalah sebahagian nadi kehidupan saya dalam membesarkan anak sejak sekian lama,” katanya ketika ditemui.
Program Budi Agrikomoditi Sektor Peladangan dirasmikan Menteri KPK, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Mohd Fared Khalid.
Sementara itu, Noraini berkata, seramai 29,049 pekebun kecil di negeri ini mengemukakan permohonan Budi Agrikomoditi di bawah selian KPK sejak bulan lalu.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 21,049 permohonan diluluskan Kementerian Kewangan membabitkan peruntukan RM50.5 juta yang turut membabitkan sektor getah, koko, lada dan kenaf.
“Budi Agrikomoditi diperkenalkan sebagai langkah proaktif untuk menyokong pekebun kecil yang berdaftar di bawah agensi KPK.
“Inisiatif ini dilaksanakan bagi memastikan golongan sasar khususnya pekebun kecil terus dibantu dalam menghadapi kenaikan harga terutama diesel.
“Malah, ia juga bertujuan meringankan beban kos operasi dan untuk memastikan produktiviti serta kesinambungan pendapatan pekebun kecil terus terpelihara,” katanya berucap merasmikan program itu.
Bagaimanapun, Noraini berkata, mereka perlu mematuhi syarat kelayakan, antaranya warga Malaysia, berdaftar dengan agensi di bawah KPK seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Koko Malaysia (LKM), Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).
Selain itu, katanya, pekebun perlu mengusahakan tanah dengan keluasan tidak melebihi had ditetapkan mengikut sektor iaitu sehingga 4.5 hektar bagi pekebun kecil sawit dan getah persendirian serta sehingga 2.5 hektar bagi pekebun kecil koko, lada dan kenaf persendirian.
“Mereka juga mengusahakan pengeluaran secara aktif dan berterusan dengan nilai jualan tahunan antara RM50,000 hingga RM300,000,” katanya.-BH Online
