MIRI, 15 Februari – Agensi Penguatkuasaan Kerajaan menerusi Maritim Malaysia (APMM) memberi jaminan bahawa tahap keselamatan perairan negara khususnya di Sarawak berada pada tahap terkawal.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, penempatan aset serta anggota sentiasa diperkasa dan dilaksanakan berdasarkan penilaian menyeluruh meliputi ancaman keselamatan, keperluan operasi serta perkembangan industri maritim termasuk peningkatan aktiviti pekerjaan luar pantai.
Menurut beliau, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN) komited menambah baik keupayaan APMM menerusi latihan terkini, penggunaan teknologi moden serta perolehan aset baharu bagi memastikan pengawasan perairan lebih sistematik dan berkesan.
“Mana-mana penempatan aset-aset di bawah KDN termasuklah di APMM dilihat dari segi keperluan ancaman keselamatan dan keperluan aset sebagainya.
“Maknanya kita tidak meletak aset atas pertimbangan yang begitu sahaja tapi menambil kira dari semua aspek soal keselamatan, keperluan, ancaman dan sebagainya”, katanya demikian pada sidang media selepas mewakili Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-21 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Perasmian Kompleks Zon Maritim Miri di sini.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan dua kapal Multi-Purpose Mission Ship (MPMS) yang bakal diperoleh akan ditempatkan masing-masing di Sarawak dan pantai timur Semenanjung Malaysia manakala sebuah helikopter dirancang untuk ditempatkan di Sabah bagi memenuhi keperluan operasi di kawasan berkenaan.
Tambahnya, langkah pengukuhan aset ini diyakini mampu meningkatkan lagi keupayaan APMM dalam memastikan keselamatan perairan negara terus terjamin sekali gus memberi keyakinan kepada komuniti maritim, nelayan serta industri pelancongan laut.-Berita RTM
