Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 14 Februari – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) meningkatkan kapasiti perkhidmatan tren elektrik (ETS) kepada 58 perjalanan sehari sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina susulan lonjakan permintaan penumpang musim perayaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata penambahan itu melibatkan 16 perjalanan ETS tambahan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan tempat duduk ditawarkan sebanyak 5,040 sehari.

Beliau berkata dua tren tambahan akan beroperasi mulai 15 hingga 22 Februari 2026 menggunakan set ETS baharu, menjadikan keseluruhan 10 set tren bagi laluan selatan termasuk ke Johor Bahru Sentral.

“Status jualan tiket ETS berjadual hampir habis terjual, manakala tiket tambahan masih berbaki dan boleh didapati orang ramai,” katanya dalam satu sidang media selepas Majlis Edaran Pek Cenderahati kepada penumpang KTMB bersempena sambutan Tahun Baharu Cina di KL Sentral di sini hari ini.

Sepanjang tempoh 13 hingga 22 Februari, sebanyak 183,000 tiket ditawarkan bersempena perayaan itu, antara jumlah tertinggi dalam sejarah perkhidmatan ETS.

Dalam masa sama, KTMB meneruskan tradisi tahunan mengedarkan pek cenderahati kepada penumpang bersempena Tahun Baharu Cina serta Ramadan yang dijangka bermula 19 Februari ini.

Program itu dilaksanakan dalam tren ETS laluan KL Sentral-Johor Bahru Sentral serta di beberapa stesen utama termasuk Bukit Mertajam bagi perkhidmatan Komuter Utara.

Selain itu, perkhidmatan tren khas edisi Tahun Baharu Cina diperkenalkan bagi laluan KL Sentral-Padang Besar, manakala edisi Ramadan melibatkan laluan KL Sentral-Kota Bharu.

KTMB turut menempatkan anggota Polis Bantuan tambahan di stesen utama bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang sepanjang musim perayaan.-Berita RTM