Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU, 14 Februari – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor meluluskan operasi 50 bas ekspres bersempena musim perayaan Tahun Baharu Cina selepas pemeriksaan di depoh menerusi Ops Khas yang bermula semalam hingga 22 Februari ini.

Pengarah JPJ Johor, Zulkarnain Yasin berkata pemeriksaan menumpukan pematuhan spesifikasi bas serta penggunaan tali pinggang keledar dalam kenderaan.

“Pada tahun ini kita akan tempatkan anggota kita bagi menjalankan tugas penyamaran dalam bas yang bergerak sepanjang musim perayaan. Pesanan pada semua pemandu agar lebih berhati-hati semasa memandu dan pesanan saya pada semua penumpang bas agar mematuhi pemakaian tali pinggang keledar di dalam bas.”

Beliau sebelum itu melakukan pemeriksaan bas di Terminal Larkin Sentral, Johor Bahru.

Seramai 325 pegawai dan anggota JPJ negeri ditugaskan sepanjang Ops Khas Tahun Baharu Cina yang menumpukan pemantauan di 33 kawasan titik panas kemalangan.

Operasi itu turut melibatkan kerjasama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Puspakom.-Berita RTM