Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memperkasa dan melindungi sektor industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan daripada ancaman ‘usahawan’ tidak berdaftar di negeri itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri akan bertindak tegas ke atas mereka yang menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja atau menjalankan perniagaan secara haram di negeri itu.

Beliau berkata, jawatankuasa yang ditubuhkan itu akan terdiri daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan di peringkat negeri dan pusat.

“Kita alu-alukan kehadiran pelabur luar, tetapi ada juga yang ambil kesempatan apabila masuk ke Johor atau Malaysia dengan visa pelancong dan atas maklum balas itu, Johor bercadang menubuhkan satu ‘task force’ untuk pemerkasaan dan perlindungan IKS tempatan.

“Untuk ini kita perlu libatkan Kementerian Kewangan, pihak berkuasa tempatan (PBT), Imigresen dan lain-lain. Sesiapa yang masuk melancong ke Johor sepatutnya hanya melancong sahaja.

“Kita alu-alukan pelaburan tetapi kita perlu lindungi juga rakyat kita, jangan ada ambil kesempatan dalam kita bangunkan ekonomi,” katanya ketika berucap pada Majlis Silaturahim Tahun Baharu Cina di Kolej Universiti Selatan di sini, malam tadi.

Menurut Onn Hafiz, jawatankuasa khas itu akan diterajui Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Katanya, tindakan tegas itu perlu dibuat susulan aduan diterima berhubung kebimbangan IKS tempatan sama ada mereka mampu bersaing seiring dengan transformasi ekonomi negeri susulan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Pembangunan ekonomi kita lihat hari ini hanya permulaan, akan ada lebih banyak kemajuan untuk dicapai termasuklah membabitkan golongan usahawan IKS tempatan sedia ada,” jelasnya.

Pada majlis malam tadi, Onn Hafiz turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM1 juta kepada Kolej Universiti Selatan sebagai sokongan kepada sektor pendidikan.-BH Online