KUALA LUMPUR, 14 Februari – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan tahniah kepada Mohamed Ismi Abdul Majid atas pelantikan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FELCRA Berhad (FELCRA) yang baharu.
Menerusi perkongsian di Facebook, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berharap pengalaman dan kepakaran yang dimiliki Mohamed Ismi dalam bidang pengurusan organisasi serta perakaunan dan kewangan dapat dimanfaatkan bagi meneruskan agenda pengukuhan keupayaan FELCRA.
Ini khusus dalam memastikan kesejahteraan peserta FELCRA terus diberi perhatian serta pembangunan luar bandar diperkasa secara mampan.
“FELCRA mempunyai peranan penting dalam membina kekuatan ekonomi komuniti desa.
“Insya-Allah, dengan komitmen seluruh warga FELCRA serta kerjasama semua pihak, saya yakin organisasi ini akan terus bergerak lebih progresif dan kekal menjadi institusi yang membawa manfaat besar kepada warga peserta serta pembangunan luar bandar negara,” katanya.-Berita RTM
