IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah mengenal pasti seramai 754 individu bagi kesalahan membuang sampah yang akan mewajibkan mereka menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) setakat hari ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata daripada jumlah itu 478 sudah didakwa di mahkamah, termasuk 137 daripadanya warga asing.
Beliau berkata, untuk pertama kalinya pada semalam seramai 15 individu sudah dihukum dengan perintah itu yang berbentuk menyapu jalan, cuci longkang dan tandas selama enam jam, selain dikenakan kompaun RM1,500 atas kesalahan itu.
“Setakat pagi ini, 754 ‘ulat sampah’ sudah pun ditahan. 478 akan didakwa di mahkamah dan 137 daripadanya adalah warga asing.
“Oleh itu pastikan jaga kebersihan kerana menjaga kebersihan bukan sahaja kewajipan, namun ia adalah separuh daripada keimanan. Kita kena pastikan Malaysia bersih, tiada penyakit berjangkit dan rakyat hidup sejahtera,” katanya ketika berucap pada Majlis Sumbangan Kasih MADANI Parlimen Tambun Sempena Tahun Baharu Cina dan Sambutan Ramadan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Cina Yuk Choy, di sini hari ini.
Pada majlis itu, 3,000 murid dari 16 sekolah sekitar Parlimen Tambun menerima bantuan wang tunai RM300.
Yang turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; EXCO Perumahan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng dan Pengasas Berjaya Corporation, Tan Sri Vincent Tan.
Sebelum ini, Kor Ming berkata, semua pesalah bagi kesalahan membuang sampah merata tempat diarah menjalani PKM berbentuk hukuman membersihkan longkang, menyapu jalan dan mencuci tandas awam mengikut sabitan mahkamah.
PKM adalah sebahagian daripada penguatkuasaan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bermula 1 Januari lalu.-BH Online
