SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada keperluan untuk merehatkan Tan Sri Azam Baki sementara siasatan dijalankan terhadap dakwaan dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.
Perdana Menteri bagaimanapun menekankan bahawa kerajaan menyerahkan kepada jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk menyiasat kes terbabit secara teliti dan telus.
“Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, memaklumkan tadi supaya serahkan kepada jawatankuasa untuk meneliti kes itu bersama Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
“Tadi, kita juga berbincang supaya siasatan itu biar betul-betul telus dan terbuka agar kita dapat meneliti permasalahan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Pusat Islam, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang diketuai Shamsul Azri bagi menyiasat segala dakwaan dan perkara berbangkit yang dikaitkan dengan Azam.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, dipetik berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Anwar, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan bahawa tindakan merehatkan Azam hanya akan mengganggu peranan SPRM secara keseluruhan.
“Ini memandangkan pasti ada usaha-usaha untuk mengekang beliau daripada mengambil tindakan terhadap perasuah.
“Pasti ramai pihak yang ada kepentingan ini akan melindungi perasuah-perasuah.
“Jadi, jangan kerana anda menjadi mangsa ataupun tertekan, terus hendak menggunakan peluang ini nak tekan… tidak boleh. Jadi, biar jawatankuasa ini meneliti dulu,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, desakan agar tindakan tegas diambil terhadap perasuah di negara ini disifatkan masih berada pada tahap minimum, sama ada di dalam mahupun di luar Parlimen.
“Dalam kalangan ahli politik dan sebahagian organisasi bukan kerajaan (NGO), desakan untuk tindakan tegas ke atas perasuah dilihat amat terhad serta tidak menyeluruh.
“Malah bagi kes-kes berprofil tinggi, hampir tiada sokongan untuk memastikan tindakan tegas diambil.
“Sebab itu, saya menegaskan kepada SPRM, jangan peduli pandangan yang lain… Azam mesti menjalankan tugas dengan berani dan tegas.
“Negara ini mesti diselamatkan daripada angkara durjana rasuah yang merebak dengan menyeluruh sekarang,” katanya.-BH Online
