KUALA LUMPUR : Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat keahlian partinya serta-merta.
Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu diputuskan Lembaga Disiplin seiring Fasal 22.5 perlembagaan parti.
“(Pemecatan) berkuat kuasa 13 Februari 2026 (hari ini) kerana tindakan beliau melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu dalam satu notis yang dilihat BH dan dikeluarkan dan ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin BERSATU, Datuk Mohd Radzi Manan, memaklumkan lembaga yang bersidang semalam itu memutuskan pemecatan berkenaan.
“Notis ini berkuat kuasa serta-merta. Bagaimanapun pihak Datuk Seri (Hamzah) boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini,” tulis notis itu.
Hamzah semalam dilaporkan tidak hadir selepas dipanggil hadir ke prosiding bersama Lembaga Disiplin parti itu dijadual berlangsung di Ibu Pejabat BERSATU di Petaling Jaya.
Setiausaha Sulitnya, Ahmad Ikhwan Fadhli, memaklumkan Ahli Parlimen Larut itu kini berada di Sydney, Australia.
Beliau berkata, Hamzah berlepas ke Australia bagi menemani dan membantu urusan pendaftaran universiti anak perempuannya sebelum menerima notis pada 7 Februari lalu untuk hadir ke prosiding Lembaga Disiplin BERSATU.
Lembaga Disiplin BERSATU dalam notis panggilan sebelum ini memaklumkan Hamzah dipanggil terkait isu kritikan dan serangan terhadap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasin serta rundingan membabitkan presiden parti dalam Perikatan Nasional (PN).
Sebelum ini, pelbagai desakan daripada pemimpin parti itu mahu supaya keahlian Hamzah dipecat selepas didakwa menjadi dalang kepada gerakan menggesa pengunduran Muhyiddin.
Hamzah yang juga ketua pembangkang Parlimen turut didakwa terbabit dalam gerakan mengumpul akuan bersumpah (SD) bagi mengambil alih dan menukar kepimpinan BERSATU ketika ini.
Sebelum ini, BERSATU juga sudah mengambil tindakan pemecatan kepada ramai pemimpinnya yang terbabit dalam gerakan sama.-BH Online
