AYER KEROH, 13 Februari – Melaka terus mengorak langkah sebagai hab pelancongan kesihatan dengan projek pembangunan Hospital swasta baharu yang bakal siap pada 2029.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pembangunan itu dilaksanakan susulan perkembangan pesat industri pelancongan kesihatan di Melaka yang menyaksikan lebih 10,000 pesakit dari dalam dan luar negara datang mendapatkan rawatan setiap tahun.
Projek dikenali sebagai Kota Kesihatan Melaka, merangkumi hospital am serta kepakaran otak dan tulang belakang.
“Jadi perkembangan ini amat baik memandangkan permintaan daripada negara-negara jiran di sebelah Selat Melaka ini telah memberikan galakan kepada industri perubatan ini untuk terus berkembang dengan kehadiran enam buah hospital swasta yang ada di Melaka ini dan bertambah lagi dua ini.
“Insya-Allah menunjukkan bahawa satu prestasi ekonomi yang baik dalam industri kesihatan yang perlu diambil kesempatan oleh Melaka bagi memperluaskan lagi kaedah perubatan kepakaran ini kepada yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah Pembangunan Hospital Putra 2 dan Brain & Spine Hospital di Ayer Keroh.
Datuk Seri Ab Rauf optimis dengan penambahan hospital itu, sekali gus menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan di negeri itu.-Berita RTM
