Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang giat memperluaskan kemudahan surau Jumaat di lokasi strategik, termasuk pusat beli-belah serta kawasan rehat dan rawat (R&R) di lebuh raya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata ia berikutan projek perintis di R&R Seremban dan IOI Mall Putrajaya menerima sambutan menggalakkan dengan kehadiran ribuan jemaah, sekali gus membuktikan keperluan kemudahan terbabit.

“Sebelum ini, pihak yang ingin membina surau Jumaat perlu memohon tetapi kini, kami pula yang turun mencari lokasi sesuai.

“Kita telah menggerakkan pasukan untuk mengenal pasti tempat yang berpotensi, termasuk di pusat beli-belah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Solat Jumaat Surau Irtifa’ Menara Affin serta pelancaran rasmi aplikasi UsimMasjidPro, iaitu bagi mentransformasikan pengurusan masjid dan komuniti kariah ke arah digital secara lebih sistematik, telus serta efisien, di Menara Affin Tun Razak Exchange (TRX) di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Affin Bank, Datuk Agil Natt; Ahli Lembaga Pengarah USIM, Datuk Dr Hasan Bahrom; dan Pengerusi USIM Holdings, Mohd Khair Ngadiron.

Menjelaskan lanjut, Zulkifli berkata, antara lokasi sedang dinaik taraf bagi membolehkan solat Jumaat dilaksanakan ialah beberapa pusat beli-belah termasuk Alamanda, serta beberapa R&R di lebuh raya.

Beliau turut memaklumkan ketika ini, Malaysia mempunyai lebih 6,784 masjid berdaftar, lebih 1,000 surau Jumaat dan lebih 18,000 surau.

Sementara itu, Mohd Khair berkata, sebanyak 500 masjid di seluruh negara telah berdaftar sebagai pengguna aplikasi UsimMasjidPro yang dilancarkan, hari ini, sekali gus mencerminkan tahap penerimaan yang memberangsangkan terhadap inisiatif pendigitalan pengurusan institusi masjid.

“Ia bukan sekadar sebuah aplikasi, sebaliknya satu ekosistem pintar yang memudahkan pengurusan masjid dan komuniti kariah secara digital.

“Objektif utama kami ialah memudah dan menggalakkan budaya berinfak yang kini boleh dilakukan hanya di hujung jari, pada bila-bila masa dan di mana jua,” katanya.

Beliau berkata, aplikasi itu dibangunkan hasil sinergi antara USIM Holdings dengan kepakaran anak tempatan menerusi HPSC Sdn Bhd, sejajar komitmen syarikat untuk memacu pemindahan teknologi tinggi dalam pengurusan institusi Islam.

Katanya, sistem itu menggunakan akaun maya (virtual account) yang diuruskan dengan kerjasama strategik bersama Affin Bank Berhad sebagai bank penyelaras bagi memastikan setiap transaksi infak direkodkan secara sistematik, telus dan selamat.

Antara modul utama ditawarkan melalui aplikasi itu ialah pengurusan kariah dan khairat kematian secara dalam talian, takwim aktiviti masjid, waktu solat, al-Quran dan tafsir, serta siaran langsung dari Tanah Suci Makkah.

Aplikasi itu turut menyediakan modul infak digital menerusi payment gateway atau QR Pay serta ciri ketelusan kewangan yang membolehkan hasil infak dipindahkan ke dalam akaun masjid secara berkala berserta rekod transaksi lengkap.-BH Online