Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 13 Februari – Ekonomi negara mencatatkan prestasi kukuh pada tahun 2025 dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) keseluruhan berkembang sebanyak 5.2 peratus, melepasi unjuran rasmi kerajaan antara 4 peratus hingga 4.8 peratus.

Momentum pertumbuhan itu dipacu oleh suku keempat 2025 (S4 2025) yang meningkat 6.3 peratus, tertinggi dalam tempoh tiga tahun dan jauh mengatasi anggaran awalan.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, permintaan domestik kekal menjadi pemacu utama dalam menerajui pertumbuhan ekonomi negara, meskipun berdepan persekitaran global yang tidak menentu.

Kerajaan MADANI juga berjaya mengekalkan defisit fiskal di bawah paras terendah untuk dua tahun berturut-turut, dengan, mencatat 3.7 peratus pada 2025 berbanding unjuran awal 3.8 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, indikator makroekonomi yang kukuh itu juga memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya menerusi kadar pengangguran terendah dalam tempoh lebih sedekad pada paras 2.9 peratus serta kadar inflasi yang rendah pada paras 1.4 peratus.

“Penjimatan daripada reformasi fiskal dapat diperuntukkan semula kepada program bantuan sosial seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), di samping komitmen berterusan Kerajaan terhadap projek infrastruktur awam yang mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat” katanya dalam kenyataan sama.

Jelas beliau, pelaksanaan pembaharuan yang sukar di bawah kerangka Ekonomi MADANI juga telah membuahkan hasil, yang boleh dilihat melalui pengukuhan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

Selain itu, ia juga dipamerkan dalam pengukuhan ringgit sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia, peningkatan pelaburan langsung dan pencapaian paras tertinggi indeks utama Bursa Malaysia (FTSE KLCI) dalam tempoh tujuh tahun.

“Adalah penting untuk kita sentiasa kekal dalam landasan pembaharuan Ekonomi MADANI, sekali gus menjadikan 2026 sebagai tahun untuk memperteguh tekad kita untuk menggalakkan aktiviti ekonomi bernilai tambah lebih tinggi, membasmi rasuah, meningkatkan kemaslahatan hidup rakyat dan menambah baik mudah cara dalam menjalankan perniagaan” katanya lagi.

Menjelang 2026, beliau berkata, ekonomi dijangka kekal pada trajektori stabil pada tahun ini, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan penggunaan isi rumah yang kukuh serta momentum pelaburan yang berterusan.

Dalam pada itu, aktiviti pelancongan yang lebih rancak sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 serta kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam turut dijangka akan mengukuhkan lagi perbelanjaan pengguna pada tahun tersebut.-Berita RTM