Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Usaha memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk menembusi pasaran antarabangsa terus diperkukuh menerusi Program Anugerah Enterprise 50 (E50).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Steven Sim Chee Keong berkata, penganjuran kali ini lebih dinamik menerusi program E50 Export Conference dan E50 Biz Matching bagi memperluas peluang perniagaan serta menyokong pertumbuhan eksport PMKS tempatan.

Inisiatif itu menyediakan platform strategik kepada usahawan untuk membincangkan cabaran, memperluas jaringan perniagaan serta meneroka peluang pasaran baharu menerusi perjanjian perdagangan serantau dan global.

“Keupayaan PMKS menyesuaikan diri dengan peralihan pasaran serta peluasan aktiviti eksport merupakan kunci untuk meningkatkan daya saing dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Sim berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Program E50 bagi 2026 di sini pada Khamis.

Menurut beliau, Malaysia kini berdepan tiga cabaran utama ekonomi global, antaranya dasar perlindungan ekstrem oleh negara-negara barat, persaingan sengit khususnya daripada ekonomi besar seperti China, serta pengurangan kelebihan daya saing.

Sehubungan itu, kementerian memperkenalkan Strategi ABCD sebagai pendekatan utama iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudahkan, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran bagi membina ekosistem perniagaan yang lebih inklusif dan mesra usahawan

Pencalonan Anugerah E50 dibuka sehingga 31 Julai dengan majlis penganugerahan yang merupakan kemuncak Program E50 dijadualkan pada Oktober.-Berita RTM