KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF) memberi bayangan kemungkinan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk 2025 akan mencatatkan angka lebih tinggi berbanding anggaran awal dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bulan lalu.
DOSM pada tengah bulan lalu mengeluarkan anggaran awalan ekonomi Malaysia berkembang 5.7 peratus pada suku tahun keempat 2025, meningkat lebih tinggi daripada pertumbuhan 5.2 peratus yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya.
Bagi keseluruhan tahun 2025 pula, ekonomi Malaysia mengukuh 4.9 peratus iaitu menghampiri pertumbuhan 5.1 peratus pada tahun 2024.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata ekonomi Malaysia berada pada landasan yang kukuh dan dijangka memberi manfaat kepada pertumbuhan masa depan.
Beliau berkata, semasa DOSM mengeluarkan anggaran awal pada pertengahan bulan lalu, suku keempat diunjurkan berkembang sebanyak 5.7 peratus.
“Sekiranya angka ini dicapai, ini bermakna KDNK tahun lalu adalah lebih tinggi berbanding sasaran kerajaan antara 4.0 hingga 4.8 peratus.
“Namun, melihat kepada kerancakan ekonomi semasa, saya optimis angka sebenar yang akan diumumkan esok berkemungkinan lebih baik daripada sasaran,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Peluncuran Jana MyPesara di sini, hari ini.
Beliau berkata, ini berdasarkan aliran pelaburan yang masuk ke dalam negara, aktiviti ekonomi yang semakin rancak, serta tempahan dalam sektor pembuatan yang kekal kukuh.
“Selain itu, sektor peruncitan juga menunjukkan momentum positif,” katanya.
Bank Negara Malaysia (BNM) dan DOSM bakal mengeluarkan angka sebenar pertumbuhan KDNK negara untuk 2025 esok.
Menyentuh inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA), beliau berkata lebih dua juta penerima sudah menebus bantuan setakat minggu ini dengan jumlah perbelanjaan hampir RM200 juta, menunjukkan sambutan amat menggalakkan.
Katanya, pelaksanaan kali ini berjalan lancar tanpa gangguan sistem seperti sebelum ini, selain skop barangan yang boleh dibeli turut diperluaskan bagi memberi manfaat lebih besar kepada rakyat.-BH Online
