PETALING JAYA: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) memperkenalkan empat program baharu bagi memperkukuh penciptaan nilai serta mempercepat penskalaan syarikat Bumiputera berpotensi tinggi, sejajar hala tuju Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Pelancaran itu dibuat sempena Program TERAJU Aspirasi Outreach 2026 yang bertujuan memperluaskan akses pembiayaan dan pemudahcaraan strategik kepada syarikat Bumiputera di seluruh negara.
Empat program berkenaan ialah ASCEND, ENHANCE, XCELERATE serta Dana Pengambilalihan Strategik Bumiputera (BSAF), yang dirangka untuk meningkatkan kesiapsiagaan pelaburan, tadbir urus dan keupayaan syarikat menskalakan perniagaan ke peringkat nasional dan antarabangsa.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata, kerajaan menegaskan keperluan untuk memastikan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera digerakkan secara bersasar dan tidak lagi berteraskan pendekatan ‘business as usual’ semata-mata.
“Sumbangan syarikat Bumiputera kepada Keluaran Dalam negara Kasar (KDNK) ketika ini masih sekitar 8.1 peratus. Ini menuntut pendekatan lebih berfokus bagi memperkukuh penyertaan dalam rantaian nilai strategik dan industri berintensif teknologi, selaras agenda Ekonomi MADANI dan PuTERA35,” katanya melancarkan Program TERAJU Aspirasi Outreach 2026 di sini, hari ini.
Beliau turut menekankan keperluan penyelarasan menyeluruh antara agensi kerajaan serta institusi kewangan dan pelaburan bagi memastikan inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memberi impak dan tidak bertindih.
“Fokus kita bukan lagi kepada kuantiti penyertaan, tetapi kepada kualiti yang melibatkan produktiviti, pendapatan, kebolehpasaran dan daya saing dalam industri bernilai tinggi serta berintensif teknologi,” katanya.
TERAJU menerapkan pendekatan pembangunan berfasa menerusi program ASCEND, ENHANCE dan XCELERATE yang memberi tumpuan kepada pengukuhan keupayaan operasi dan kewangan, kepimpinan serta tadbir urus, kesiapsiagaan pelaburan dan pasaran modal, selain keupayaan menskalakan perniagaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi, berkata pencapaian pembiayaan pada 2025 menyediakan asas kukuh untuk pelaksanaan lebih agresif pada 2026.
“Sebanyak RM1.07 bilion disalurkan kepada 564 syarikat melalui Dana Pengembangan dan Katalis Bumiputera (BECF), manakala RM158 juta modal kerja dimanfaatkan 276 syarikat menerusi i-WCPF.
“Selain itu, 418 syarikat menerima manfaat pemudahcaraan TERAJU, menjadikan keseluruhan 840 syarikat Bumiputera menerima pembiayaan langsung, melepasi sasaran RM1 bilion setahun,” katanya.
Program itu turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Kolaborasi Strategik antara TERAJU dan Bursa Malaysia bagi memperkukuh saluran syarikat Bumiputera ke arah penyenaraian awam menerusi XCELERATE, termasuk pemudahcaraan kesiapsiagaan IPO, pemudahcaraan pembiayaan dan sokongan ekosistem.
Bagi melengkapkan fasa pertumbuhan seterusnya, TERAJU turut melancarkan BSAF bagi menyokong langkah korporat strategik seperti penggabungan dan pengambilalihan (M&A), pembelian pengurusan (MBO), persediaan pra-IPO serta pengembangan pasaran antarabangsa.
Program TERAJU Aspirasi Outreach 2026 turut menampilkan sesi jaringan bersama rakan ekosistem merangkumi pembiayaan, kawal selia, bakat, teknologi dan pemasaran, selain pengiktirafan kepada usahawan Bumiputera yang berjaya menamatkan kohort program ELEVATE hasil kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).-BH Online
