KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangkakan penjimatan RM2.5 bilion tahun ini hasil daripada langkah penyasaran subsidi petrol RON95 di bawah Program BUDI MADANI 95 (BUDI95), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, inisiatif diperkenalkan sejak September tahun lalu itu bukan sahaja mengurangkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan, bahkan memberi pelbagai manfaat serta sudah disalurkan semula kepada rakyat bagi mengurangkan beban kos sara hidup.
“Setakat ini penyasaran subsidi RON95 untuk 2026 dijangka menjimatkan RM2.5 bilion. Jadi Alhamdulillah kerana kejayaan itu kita boleh perkenalkan beberapa program untuk membantu rakyat termasuk STR (Sumbangan Tunai Rahmah) dan SARA (Sumbangan Asas Rahmah).
“Dua hari lalu, 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas terima RM100 setiap individu melalui MyKad (melalui) SARA.
“Bayangkan dalam tempoh dua hari, kita telah belanjakan RM200 juta dan dua juta rakyat boleh menggunakannya.
“Ini satu kejayaan dalam kalangan penjawat awam juga dengan dasar yang lebih telus,” katanya pada sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan asal Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang meminta perincian penjimatan dicapai melalui pelaksanaan BUDI MADANI 95 sepanjang 2025 dan unjuran penjimatan bagi 2026 serta bagaimana penjimatan itu dimanfaatkan untuk disalurkan semula bagi meringankan kos sara hidup rakyat khususnya B40 dan M40.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun pelaksanaan penyasaran subsidi agak mencabar khususnya dalam mendepani reaksi serta penerimaan rakyat, kerajaan berpendirian ia masih mekanisme terbaik untuk diteruskan.
“Di bawah pentadbiran MADANI, kita memilih untuk akur kepada realiti dan berani menyasarkan subsidi di setiap peringkat secara berfasa, tanpa menjejaskan kebajikan rakyat terbanyak.
“Kita tak banyak pilihan kerana ketirisan akibat subsidi tak bersasar ini terlalu tinggi.
“Seperti mana saya pernah tegaskan di Parlimen sebelum ini kita tak memilih untuk menerima pendekatan Bank Dunia dan beberapa pakar ekonomi yang mahu kita laksanakan cara pengapungan.
“Bila harga diapungkan, sekitar RM13,000 untuk satu keluarga, selebihnya akan diberikan bantuan. Tetapi kita fikir ini hanya akan membebankan rakyat terbanyak,” katanya.
Ahli Parlimen Tambun itu turut merujuk kenaikan tarif elektrik yang disasarkan hanya kepada pihak industri dan golongan berpendapatan tinggi dengan 85 peratus rakyat terbanyak di negara ini tidak terkesan.
“Begitu juga dalam menyasarkan subsidi melalui BUDI95, keutamaan kita untuk memastikan pengalaman rakyat membeli petrol tidak terganggu.
“Pertama, proses bayaran kekal seperti biasa melalui tunai, kad kredit atau e-wallet dan harga bersubsidi boleh terus dinikmati di semua jenama stesen minyak.
“Penggunaan MyKad terbukti bahawa subsidi boleh disalurkan dengan lebih selamat, teratur dan efisien. BUDI95 merekodkan purata sehingga 3.1 juta transaksi sehari, atau sehingga 96 juta transaksi sebulan. Ini bukti bahawa urusan membeli RON95 bersubsidi kekal lancar,” katanya
Perdana Menteri juga menegaskan had penggunaan 300 liter sebulan untuk RON95 bersubsidi juga dilihat tidak berbangkit.
Ketika ini, jelas beliau ia mencukupi untuk kegunaan biasa berdasarkan data penggunaan yang menunjukkan purata kegunaan sekitar 100 liter sebulan dan 90 peratus pengguna tidak menggunakan lebih daripada 200 liter sebulan.-BH Online
