Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUANTAN: Projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sudah mencapai 91.7 peratus siap setakat bulan lalu, sejajar jadual penyiapan jajaran dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak di Selangor, menjelang akhir tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata tumpuan kini beralih kepada persiapan menyeluruh bagi fasa pengoperasian memandangkan ECRL adalah projek rel terbesar di negara ini serta simbol kerjasama strategik Malaysia–China.

“Setakat ini, pengoperasian komersial dijadual bermula Januari 2027 dan tiada sebarang perubahan untuk ia beroperasi lebih awal,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Khas Ketibaan Golden Tren Electric Multiple Unit (EMU) dan Electric Locomotive (E-Loco) Projek ECRL serta penyerahan surat lantikan penyedia infrastruktur rangkaian mudah alih jajaran ECRL di Stesen ECRL Kota SAS, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Loke menjelaskan, ECRL adalah projek infrastruktur bernilai RM50.27 bilion yang dilaksanakan Kerajaan Malaysia dan turut menjadi sebahagian daripada Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), hasil hubungan diplomatik yang erat serta kerjasama ekonomi kukuh antara Malaysia dan China.

“Hari ini, projek ECRL sekali lagi mencatat satu mercu tanda penting dengan ketibaan dua set tren EMU dan dua E-Loco yang pertama di Malaysia. Tren ini dikilangkan oleh CRRC Dalian di China, hanya dihantar ke negara ini selepas berjaya melalui ujian komprehensif serta Factory Acceptance Test yang disahkan oleh MRL.

“Majlis hari ini bukan sahaja menandakan pencapaian teknikal, malah mencerminkan kerjasama erat, kepercayaan bersama dan dedikasi tinggi antara MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) untuk memastikan piawaian tertinggi dipatuhi bagi pembangunan sistem rel moden di Malaysia.

“Pengoperasian komersial tren EMU dan E-Loco yang dijadualkan bermula Januari 2027 bakal membuka lembaran baharu dalam memperkukuh ECRL. Ia sebagai mod pengangkutan hijau untuk penumpang dan kargo, merentasi rangkaian rel elektrik sepanjang 665 kilometer melalui negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor,” katanya.

Untuk rekod, projek ECRL memperuntukkan 11 set EMU enam gerabak bagi perkhidmatan penumpang serta 12 E-Loco untuk tujuan kargo. Setakat ini, dua set tren EMU dan dua E-Loco selamat tiba di Malaysia pada Disember lalu.-BH Online