Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan sentiasa meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bagi menyesuaikan undang-undang itu dengan perubahan dan keperluan semasa.

Susulan itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata beliau bersikap terbuka dengan tuntutan mahasiswa berhubung perkara itu dan memberi kebebasan kepada mereka.

Malah, katanya, kebebasan yang dinikmati pelajar ketika ini adalah manifestasi daripada pindaan yang dilakukan terhadap AUKU.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedia menerima sebarang pandangan terhadap akta berkenaan dan perbincangan turut dilaksana dengan pihak berkepentingan termasuk mahasiswa bagi tujuan penambahbaikan.

“Apa yang kita lihat, kebebasan pelajar kini sebenarnya adalah manifestasi daripada AUKU yang sudah dipinda berkali-kali dengan yang terbaru pada Jun 2024 bagi memastikan kebebasan pelajar diberikan. 

“Kebebasan itu umpamanya untuk mereka wujudkan kesatuan, menguruskan sumber kewangan mereka dan pelbagai lagi,” katanya selepas merasmikan Sidang Akademia Penyelidikan Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) Bersama Industri 2026, di sini, hari ini. 

Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Azlinda Azman.

Beliau berkata demikian ketika mengulas desakan sekumpulan pelajar yang berkumpul di luar pagar Parlimen pada Isnin lalu bagi mendesak AUKU dimansuhkan.

Pada perhimpunan itu, hampir 100 mahasiswa daripada Sekretariat Mansuh AUKU turut menyifatkan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim sebagai mungkir janji dalam isu pemansuhan akta berkenaan selepas ia dijadikan kempen utama Pemuda Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada 2022.

Zambry berkata, AUKU adalah akta tunggal yang penting menjadi teras dan punca kuasa kepada penubuhan sesebuah institusi pengajian tinggi di negara ini. 

Susulan itu, beliau berkata, aspek berkenaan perlu dilihat dan pada masa sama mencadangkan supaya pengurusan semua universiti mengadakan perbincangan bagi melihat kelemahan dalam AUKU.

“AUKU ditubuhkan pada 1971, kemudian berubah pada 1974 dan beberapa lagi siri perubahannya sudah dibuat. Kita lihat sepanjang masa ia (AUKU) mesti bersifat dinamik, tidak boleh kekal sebagai sesuatu yang statik,” katanya.-BH Online