Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 11 Februari – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah menegaskan sebarang isu berkaitan agama tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan serta kestabilan negara berbilang kaum.

Seri Paduka Baginda bertitah, Malaysia sebuah negara yang dibina atas asas keharmonian dan kekuatan negara terletak pada semangat saling menghormati, toleransi serta pematuhan kepada undang-undang.

“Setiap rakyat bertanggungjawab memelihara nilai-nilai berkenaan demi kepentingan bersama. Semua pihak wajib mematuhi undang-undang yang termaktub, termasuk dalam perkara berkaitan penggunaan tanah serta pembinaan rumah ibadat,” titah Seri Paduka Baginda menerusi satu hantaran di laman Facebook.

Berhubung isu pembinaan kuil, Seri Paduka Baginda bertitah, isu berkenaan hendaklah ditangani mengikut peraturan dan saluran undang-undang yang sama seperti pembinaan masjid, gereja dan tokong.

Sultan Ibrahim turut mengimbas pengalaman Baginda pada Januari 2018 ketika bertindak sebagai pendamai dalam menyelesaikan isu perobohan sebuah kuil di Johor.

“Saya sendiri menyelesaikan masalah berkenaan secara baik serta menasihatkan semua pihak yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini serta menjaga ketenteraman awam.

“Agama Islam menekankan prinsip saling hormat-menghormati antara sesama manusia, dan Islam tidak menghalang penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan serta ibadat masing-masing.

“Penganut agama lain juga wajar menunjukkan sikap hormat terhadap Islam. Pendekatan saling menghormati ini penting bagi mengelakkan salah faham, ketegangan dan provokasi, sekali gus memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang agama dan budaya.

“Oleh demikian, apabila timbul sebarang isu berkaitan pembinaan kuil atau rumah ibadat, semua pihak hendaklah memahami serta menghormati undang-undang negara, di samping menyelesaikan perbezaan menerusi saluran yang sah demi mengekalkan keharmonian, toleransi dan semangat muhibah,” titah Seri Paduka Baginda

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, di Istana Negara, hari ini.

Sultan Ibrahim turut mengingatkan semua pihak agar mengelakkan sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh menimbulkan salah faham, perpecahan serta menggugat keamanan negara.-Berita RTM