SEPANG, 10 Februari – Lebih banyak outlet makanan dicadang dibuka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memberi pilihan lebih luas kepada pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata cadangan itu susulan maklum balas pelancong yang mahu lebih banyak pilihan makanan tempatan mewakili pelbagai kaum dan negeri.
“Terdapat permintaan daripada pelancong supaya lebih banyak outlet makanan disediakan di KLIA agar mereka mempunyai lebih banyak pilihan, selain mempromosikan makanan tempatan.
“Pelancong domestik, khususnya dari kawasan luar bandar, turut berharap harga makanan di lapangan terbang dapat ditawarkan pada kadar yang lebih berpatutan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran ShopLAH di sini hari ini.
Beliau berkata kementerian turut menerima maklum balas bahawa kos makanan yang tinggi boleh menjejaskan perbelanjaan pelancong, terutama yang melancong bersama keluarga.
Menurut Tiong, cadangan berkaitan penurunan harga akan dibincangkan secara menyeluruh termasuk melibatkan kadar sewaan premis dan kos operasi.
“Kemungkinan untuk menyemak semula kadar sewaan dan kos operasi akan dipertimbangkan dan perkara ini akan dibincangkan di peringkat pengurusan bersama pihak berkepentingan melalui perbincangan meja bulat bagi mencari pendekatan terbaik untuk membantu pelancong,” katanya.-Berita RTM
