KUALA LUMPUR, 10 Februari – Malaysia melancarkan Pusat Ketibaan Pelajar Antarabangsa (ISAC), pusat pertama seumpamanya di dunia, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pusat itu membolehkan urusan ketibaan pelajar antarabangsa dilakukan secara lebih tersusun melalui kerjasama Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS), Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kastam.
“Ini pendekatan kreatif untuk memastikan pelajar disambut dengan baik sekali gus melonjakkan reputasi Malaysia sebagai destinasi pendidikan tinggi,” katanya yang ditemui media pada Majlis Perasmian ISAC di KLIA.
Beliau berkata inisiatif itu dijangka memberi pengalaman positif kepada pelajar antarabangsa yang seterusnya akan mempromosikan Malaysia kepada keluarga dan rakan mereka di negara asal.
Menurut beliau, Malaysia kini menerima lebih 155,000 pelajar antarabangsa dari 160 negara, sekali gus mencerminkan keyakinan global terhadap sistem pendidikan tinggi negara.
Pelajar Universiti Kuala Lumpur dari Mozambique, Kassandra Marques berkata ISAC memudahkan proses ketibaan dan membantu pelajar memahami persekitaran baharu dengan lebih cepat.
“ISAC menetapkan standard dunia kerana ia menunjukkan keramahan Malaysia sebelum kami melalui imigresen, sekali gus melancarkan proses ketibaan,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Haroon Rahoon dari Afghanistan berkata bantuan awal melalui e-mel dan WhatsApp memudahkan urusannya sebelum tiba di Malaysia.
“Wakil ISAC menyambut saya di lapangan terbang dan membantu semua proses dengan pantas,” katanya.
Pelancaran pusat itu dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa di rantau ini.-Berita RTM
