MASJID TANAH, 9 Februari – Peruntukan bantuan kebajikan di Melaka ditingkatkan kepada RM168.8 juta tahun ini, memberi manfaat kepada lebih 34,000 penerima di seluruh negeri.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata jumlah itu meningkat berbanding RM164 juta yang disalurkan kepada lebih 30,000 penerima tahun lalu.
Menurut beliau, bantuan merangkumi sara hidup, pendidikan anak-anak serta sokongan kepada peniaga kecil dan usahawan kampung bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Beliau berkata bantuan turut diselaraskan bersama program e-Kasih di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat melalui kerjasama kerajaan pusat dan negeri bagi memastikan golongan memerlukan menerima manfaat sewajarnya.
“Jumlah ini membolehkan lebih 34,000 rakyat Melaka menerima bantuan dengan peruntukan keseluruhan RM168.8 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Penyampaian Sumbangan Bersempena Tahun Baharu Cina 2026 Parlimen Masjid Tanah di Melaka.
Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri menyalurkan sumbangan Tahun Baharu Cina berjumlah RM200,000 kepada 1,000 penerima yang layak di seluruh negeri.-Berita RTM
