KUALA LUMPUR 9 Februari –Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan peratusan kanak-kanak bantut di negara ini akan terus menurun tahun ini.
Menteri Kesihatan, Datuk seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata hasil tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2022 merekodkan peratusan bantut sebanyak 21.2 peratus.
“Data terkini melalui kajian di Malaysia adalah melalui Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022, yang merekodkan kadar bantut sebanyak 21.2 peratus, iaitu penurunan sebanyak 0.6 peratus berbanding 21.8 peratus pada tahun 2019, dan dianggarkan akan menurun pada tahun 2026.”,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Jelasnya bagi menangani isu berkenaan, pelbagai program kesedaran dilakukan oleh kementeriannya.
Antaranya termasuklah Program 1,000 Hari Pertama Kehidupan, kerjasama dengan universiti tempatan dan latihan kepada pengusaha serta pendidik Taska dan Tadika dalam penyediaan makanan berkhasiat.
“Sejak 2022 hingga 2025, lebih 1,197 aktiviti advokasi pemakanan telah dilaksanakan melibatkan 12,685 ibu bapa, manakala 21,031 pengusaha dan pendidik dilatih untuk meningkatkan kefahaman pemakanan sihat,” katanya pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, mengulas isu kekurangan kakitangan kesihatan di Borneo, beliau menjelaskan kerajaan telah melakukan tindakan proaktif dengan menempatkan seramai 1,046 pegawai perubatan kontrak di Sabah dan 950 orang di Sarawak.
Selain itu, ,KKM juga memperkenalkan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) dengan kadar tetap RM270 hingga RM960 sebulan untuk pegawai baharu demi memastikan penugasan di kawasan pedalaman lebih menarik dan mampan.-Berita RTM
