KUALA NERUS: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melancarkan Pelan Strategik KKDW 2026-2030 sebagai hala tuju baharu pembangunan luar bandar bagi tempoh lima tahun akan datang, hari ini.
Pelancaran pelan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sempena permulaan sesi Permukiman KKDW dan Permukiman Syarikat Milikan Agensi KKDW Tahun 2026.
Ahmad Zahid berkata pelan strategik itu selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) serta Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB).
“Pelan berkenaan memberi fokus kepada lima kluster utama iaitu ekonomi desa, modal insan, jaringan prasarana, usahawan desa dan sistem penyampaian perkhidmatan.
“Sebanyak 20 strategi dan 49 inisiatif dirangka secara bersepadu dan mampan bagi memberi manfaat kepada 8.17 juta penduduk desa, bersamaan 24 peratus daripada jumlah penduduk negara,” katanya ketika berucap di Majlis Pemukiman KKDW 2026, di sini hari ini.
Beliau berkata, pelan ini menjadi dokumen panduan utama pelaksanaan program dan projek kementerian dengan penekanan terhadap kecekapan penyampaian, akauntabiliti penggunaan sumber awam serta impak langsung kepada masyarakat luar bandar.
Dalam pada itu, katanya kejayaan pelaksanaan dasar sebelum ini turut memperkukuh keupayaan kementerian melaksanakan anjakan strategik berkenaan.
“Sepanjang tempoh RMK12, kadar kemiskinan tegar menurun daripada 0.2 peratus pada 2022 kepada 0.09 peratus pada 2024 dan kadar kemiskinan luar bandar pula berkurang daripada 12.9 peratus pada 2022 kepada 9.9 peratus pada 2024.”
“Migrasi luar bandar ke bandar turut menunjukkan penurunan ketara kepada 0.5 peratus berbanding 2.4 peratus sebelum ini, manakala kebolehpasaran graduan TVET KKDW mencatatkan kadar melebihi 98.7 peratus”, katanya.
Ahmad Zahid berkata pencapaian itu membuktikan pendekatan berasaskan hasil dan pelaksanaan secara ‘bottom-up’, disokong kerjasama merentas agensi termasuk FELDA, MTVET, APM, NADMA, National Cyber Security Agency (NACSA), Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri serta MyDigital ID meningkatkan keberkesanan penyampaian dasar pembangunan luar bandar.
Pelan Strategik KKDW 2026-2030 dijangka menjadi pemacu utama transformasi desa secara menyeluruh dan mampan dalam tempoh lima tahun akan datang.-BH Online
