Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

HULU LANGAT: Negara tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada kaedah rawatan bagi penyakit tidak berjangkit (NDC), sebaliknya perlu fokus kepada strategi pencegahan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kos mengurus penyakit NCD yang mencecah RM64.3 bilion setahun menjadi cabaran besar negara, malah jauh lebih tinggi berbanding keseluruhan bajet Kementerian Kesihatan (KKM) tahun ini sebanyak RM46.52 bilion.

Katanya, situasi itu memberi isyarat jelas Malaysia tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada pendekatan rawatan penyakit atau ‘sick care’.

“Sebaliknya pendekatan kesihatan perlu diubah kepada strategi pencegahan serta pemerkasaan rakyat melalui reformasi sistem kesihatan yang mampu menentukan produktiviti tenaga kerja pada masa depan.

“Misalnya melalui penubuhan Wellness Hub Hulu Langat adalah manifestasi jelas reformasi sistem kesihatan. 

“Sehubungan itu, kerajaan mahu merakyatkan kesihatan dengan memperluas akses supaya rakyat lebih celik kesihatan selaras Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan yang menjadi panduan dalam melahirkan masyarakat berpengetahuan dan berupaya membuat keputusan bijak demi kesejahteraan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Hari Terbuka Wellness Hub Hulu Langat di Bandar Seri Putra di sini, hari ini. 

Dr Dzulkefly berkata, Wellness Hub turut berfungsi sebagai platform strategik bagi menangani isu kritikal seperti bantut dan malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak menerusi perkhidmatan rundingan pemakanan, sekali gus memperkasa ibu bapa dengan ilmu pemakanan seimbang bermula dari peringkat awal kehamilan hingga seribu hari pertama kehidupan anak.

“Intervensi bersasar ini penting bagi memastikan generasi masa depan membesar dengan sihat dan bebas daripada beban malnutrisi.

“Selain itu, pendekatan sains tingkah laku (behavioural Insights) turut diterapkan dengan memberi pilihan serta bimbingan kepada rakyat bagi menggalakkan perubahan tabiat secara sukarela ke arah gaya hidup lebih sihat dan sekali gus menjadikannya bukan sekadar arahan,” katanya.

Beliau berkata, fasiliti di Hulu Langat itu sudah menunjukkan impak positif apabila menerima lebih 19,000 klien sepanjang 2025, meningkat hampir 23 peratus berbanding tahun sebelumnya. 

Katanya, di peringkat nasional, sebanyak 38 Wellness Hub kini beroperasi di seluruh negara termasuk lima fasiliti baharu di Kuala Selangor (Selangor), Muar (Johor), Sibuti (Miri), Muallim (Perak) dan Sandakan (Sabah).

Selain itu, katanya Wellness Hub turut menyokong agenda penuaan sihat melalui pembangunan Pakej Warga Emas bagi mendukung Pelan Strategik KKM 2026–2030.

“Komuniti Hulu Langat diharap dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan kerana pelaburan dalam kesejahteraan hari ini adalah jaminan kepada masa depan negara yang lebih sejahtera,” katanya. 

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, dalam kerangka Malaysia MADANI, kesihatan bukan lagi dilihat sebagai isu

sektor semata-mata, tetapi prasyarat kepada kemakmuran negara. 

“Rakyat yang sihat adalah rakyat yang produktif, berdaya saing dan mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara.

“Sehingga kini, lebih dua juta rakyat telah menerima pakej perkhidmatan kesejahteraan kesihatan di wellness hub yang dilaksanakan secara bersasar itu berasaskan keperluan individu bagi pengurusan faktor risiko kesinatan.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, peningkatan kes diabetes yang konsisten di Hulu Langat membimbangkan apabila sebanyak 2,847 kes baharu direkodkan dalam tempoh dua tahun, sekali gus menuntut intervensi pencegahan lebih berkesan di peringkat komuniti.

“Statistik menunjukkan 1,461 kes diabetes baharu dicatatkan pada 2024, meningkat 5.24 peratus, manakala 2025 merekodkan tambahan 1,386 kes atau kenaikan 4.73 peratus. 

“Secara keseluruhan, beban kumulatif penyakit itu meningkat kira-kira 10.2 peratus dalam tempoh berkenaan.

Trend berterusan itu mencerminkan keperluan mendesak untuk memperkukuh usaha pencegahan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap faktor risiko penyakit NCD.-BH Online